KLVC: Perdaya Lembaga Pengarah FELDA, Bekas Pengurus Besar Mengaku Tak Bersalah

KLVC: Perdaya Lembaga Pengarah FELDA, Bekas Pengurus Besar Mengaku Tak Bersalah

Datuk Faizoull Ahmad, 66, didakwa atas tuduhan memperdaya Lembaga Pengarah FELDA berhubung pemberian kuasa kepada sebuah syarikat untuk menukar hak milik 16 lot tanah milik badan berkanun itu, pada 2014. Foto Fadhli Sutris

KUALA LUMPUR, 30 Sep – Setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendapat izin Jabatan Peguam Negara (AGC), akhirnya bekas Pengarah Besar FELDA didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan pengakuan tidak bersalah.

Datuk Faizoull Ahmad, 66, didakwa atas tuduhan memperdaya Lembaga Pengarah FELDA berhubung pemberian kuasa kepada sebuah syarikat untuk menukar hak milik 16 lot tanah milik badan berkanun itu, pada 2014.

Hakim Suzana Hussin merekodkan pengakuan Faizoull dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan kemudian.

“Tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya yang memakai kemeja kelabu di dalam kandang tertuduh.

Bekas Pengarah Besar FELDA ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk proses reman pada 7 September 2026. Foto Faisol Mustafa

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, individu itu akan berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan seperti yang dimaklumkan menerusi kenyataan baru-baru ini.

Tertuduh yang ketika itu Pengarah Besar FELDA didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FELDA dengan menyembunyikan secara tidak jujur fakta berhubung surat kuasa wakil (Power of Attorney) bertarikh 3 Jun 2014.

Surat kuasa wakil berkenaan memberikan kuasa kepada Synergy Promenade Sdn Bhd untuk menukar hak milik tanah FELDA yang terbabit dalam projek Cadangan Pembangunan Lot FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Perbuatan itu menyebabkan Lembaga Pengarah FELDA bersetuju dengan surat kuasa wakil berkenaan, yang kemudiannya mengakibatkan tanah milik FELDA itu ditukar hak milik kepada Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dan Synergy Promenade Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, di sini, pada 2 September 2014.

Pendakwaan ini menyusul selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Investment Corporation (FIC) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini juga berkaitan skandal KLVC atas dua dua pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah FIC berhubung pelantikan syarikat untuk projek dan harga pasaran 24 lot tanah, 12 tahun lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web