KKD Teliti Teknologi Satelit Sebagai Menara Telekomunikasi – Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menjawab soalan YB Senator Tuan Aknan A/L Ehtook mengenai kemajuan pelaksanaan projek JENDELA di Dewan Negara hari ini. Foto Instagram Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti penggunaan teknologi satelit sebagai menara telekomunikasi dalam usaha menambah baik sistem rangkaian telekomunikasi di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sekiranya teknologi itu dapat dilaksanakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, dasar “di mana ada jalan, di situ ada Internet” dapat dicapai dan dilaksanakan dengan baik.

“SKMM dan KKD meneliti beberapa teknologi yang baru selain daripada Internet melalui satelit. Ada beberapa teknologi baru sedang dirangka yang menggunakan satelit sebagai menara komunikasi.

“… dalam tahun-tahun akan datang ini lebih kurang dua tahun lebih, ada beberapa syarikat yang sedang meneliti penggunaan teknologi satelit sebagai menara telekomunikasi. Jadi ini sedang dalam penelitian,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menjawab soalan YB Senator Tuan Aknan A/L Ehtook mengenai kemajuan pelaksanaan projek JENDELA di Dewan Negara hari ini. Foto Instagram Fahmi Fadzil

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Aknan Ehtook di Dewan Negara yang bertanyakan mengenai kemajuan inisiatif perkongsian rangkaian yang mengambil kira Sarawak sebagai model pelaksanaan.

Selain itu Fahmi berkata SKMM dan syarikat telekomunikasi telah mencapai persetujuan untuk membantu menyelesaikan masalah menara tidak berkuali di Sarawak yang melibatkan 600 menara di bawah Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Beliau berkata walaupun usaha itu menelan belanja yang agak besar, ia membuktikan bahawa kerjasama antara SKMM dan syarikat telekomunikasi tersebut boleh dicapai.

“Cuma (kerjasama ini) perlu perbincangan dengan dibawa ke meja perundingan sebelum dikeluarkan apa-apa arahan.

“Jadi ini satu model yang saya harap dapat kita guna di negeri lain,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *