Kilang Bioteknologi CJ Bio Di Kerteh: Lebih 450 Pekerja Terancam Kehilangan Mata Pencarian

IMG_7205

Suasana pilu usai menerima berita penutupan kilang CJ Bio Malaysia di Taman Biopolimer Kerteh dan bakal menghilangkan pekerjaan buat anak tempatan.

PENDAPAT, 4 Okt – Berita mengenai penutupan operasi kilang bioteknologi CJ Bio Malaysia di Taman Biopolimer Kerteh, Kemaman yang didakwa bakal ditamatkan pada 15 Oktober 2026, membawa kesan besar kepada lebih 450 pekerja yang bergantung kepada kilang itu sebagai sumber pendapatan utama keluarga mereka.

Kilang tersebut, yang dikenal pasti dalam laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai projek bioteknologi bernilai RM1.15 bilion yang diluluskan sejak 2012, telah beroperasi lebih satu dekad di Kerteh yang terkenal sebagai tulang belakang industri petrokimia di Terengganu.

Salah satu hantaran di media sosial memaklumkan penutupan kilang CJ Bio Malaysia di Taman Biopolimer Kerteh yang tular menimbulkan emosi di kalangan warganet sejak beberapa hari lalu.

Sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan pekerja tidak dapat menahan sebak meninggalkan tempat kerja, dengan sebahagian telah berkhidmat sehingga 13 tahun di kilang berkenaan.

Menurut dakwaan yang berlegar di media sosial, harga methionine – bahan utama pengeluaran kilang tersebut yang tidak stabil, ditambah persaingan sengit daripada pengeluar China, menjadi antara faktor utama memberi tekanan besar kepada kelangsungan operasi kilang berkenaan.

Berita penutupan kilang CJ Bio Malaysia di Taman Biopolimer Kerteh turut mengundang reaksi warganet yang pelik mengapa ia tidak dapat diselamatkan.

Keadaan ini mencerminkan cabaran lebih luas dihadapi industri bioteknologi serantau apabila kos pengeluaran tempatan sukar bersaing dengan harga lebih rendah ditawarkan pengeluar luar negara.

Walau bagaimanapun, setakat ini syarikat belum mengesahkan secara rasmi tarikh tepat penamatan, bilangan sebenar pekerja terlibat, atau bentuk pampasan dan penyelesaian yang akan ditawarkan sekali gus menimbulkan ketidakpastian dan kebimbangan dalam kalangan pekerja serta keluarga mereka yang kini menanti kepastian nasib pekerjaan.

Perkongsian hantaran di media sosial berkenaan penutupan kilang CJ Bio Malaysia di Taman Biopolimer Kerteh menambah rasa sedih kehilangan mata pencarian.

Sekiranya penutupan ini disahkan, ia bakal menambah kerisauan terhadap kestabilan sektor pembuatan di pantai timur malah bakal menjejaskan imej Terengganu yang cuba menarik pelaburan luar sejak Pas memerintah dari 2018 sehingga sekarang.

Kita berharap malah menuntut campur tangan segera pihak berkuasa buruh bagi memastikan hak pekerja terjamin sepenuhnya, termasuk pampasan saksama dan bantuan mencari pekerjaan alternatif bagi golongan terkesan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *