Khalwat: Duda Bersama Gadis 18 Tahun Dicekup Penguatkuasa

Pasangan terbabit ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) susulan aduan awam pada 30 Ogos 2026. Foto ihsan JAINJ
JOHOR BAHRU, 30 Ogos – Seorang duda berusia 40-an ditahan bersama gadis berusia 18 tahun dalam bilik sewa di rumah kedai di Pasir Gudang di sini, 2.15 pagi hari ini.
Pasangan terbabit ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) susulan aduan awam.
Menurut JAINJ, ketika pemeriksaan, penguat kuasa mendapati lelaki berkenaan berada di dalam bilik bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun dan gadis terbabit.
“Pemeriksaan mendapati gadis berkenaan sedang berada di atas katil bujang, manakala kanak-kanak terbabit tidur di lantai beralaskan selimut dan bantal.
“Lelaki itu yang bekerja di Pasir Gudang mengaku berstatus duda anak dua, manakala gadis terbabit masih belum berkahwin dan tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, ketika disoal siasat, pasangan itu pada awalnya memberi alasan gadis berkenaan datang ke bilik tersebut untuk membantu mengemas rumah.
Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati gadis berkenaan yang tinggal kira-kira 15 kilometer dari situ kerap datang ke premis berkenaan, iaitu kira-kira dua hingga tiga kali seminggu.
Oleh Azizi Majid
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

