Khalwat: Aliff Aziz, Ruhainies Mengaku Tak Bersalah

Pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, kira-kira pukul 9 pagi, Rabu untuk prosiding bacaan pertuduhan kes khalwat. Foto Gempak

KUALA LUMPUR, 3 Jul – Pelakon kontroversi, Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan berhubung kes khalwat pada 9 Mac lalu ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pagi tadi.

Aliff dan Ruhainies yang diwakili peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim, Abu Suffian Abu Yaziz.

Pendakwaan dibuat oleh Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Nahar Mohamad dan Masroha Duki.

“Kedua-dua hadir hari ini bersama peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani. Kes ini disebut pada 20 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah, tiada sebarang pengakuan dan tangguhan juga sudah dibuat serta dilepaskan dengan bon jaminan RM1,500 dan seorang penjamin,” kata Masroha ketika dalam dewan bicara.

Aliff selepas pertuduhan dibaca turut mengaku tidak bersalah.

“Saya mengaku tidak bersalah,” katanya.

Ruhainies turut membuat pengakuan sama.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.

Prosiding diteruskan dengan perbicaraan dengan kehadiran saksi daripada pihak tertuduh.

Mahkamah menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh seterusnya dan bon jaminan dilanjutkan sehingga tarikh tersebut.

Pertuduhan terhadap mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah, di sini, di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk disoal siasat, Aliff dan Ruhainies masing-masing dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 2 petang, pada hari sama.

Sebelum ini, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.

Sumber dilapor berkata, tangkapan dibuat JAWI adalah berdasarkan maklumat awam. Pasangan selebriti yang sibuk menjalani penggambaran drama itu, dilapor ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.

Rentetan insiden itu, Aliff dan Ruhainies masing-masing tampil memberi penjelasan menerusi hantaran Instagram (IG) berhubung kontroversi tercetus.

Aliff dilapor menjelaskan tiada apa yang berlaku antara dirinya dan Ruhainies ketika diserbu JAWI di kondominium milik aktres berkenaan.

Ruhainies turut menjelaskan kronologi kejadian selain berharap Aliff dan bekas isterinya, Bella Astillah tidak berpisah.

Aliff dan bekas isterinya, Bella yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, bercerai talak satu pada 13 Jun lalu.

Mereka dikurniakan dua anak iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *