Kewangan Islam: Usah Terhenti Sekadar Wacana, Terjemah Kepada Dasar, Produk

IMG_7086

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika merasmikan Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) 2026 di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2026. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Hasil perbincangan mengenai kewangan Islam mesti diterjemahkan kepada dasar, produk dan amalan yang memberi manfaat kepada masyarakat, bukan sekadar kekal sebagai wacana.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, platform itu perlu melangkaui sempadan dialog kepada pelaksanaan bagi mengangkat martabat masyarakat.

“Marilah kita melonjakkan usaha ke arah pelaksanaan. Mari kita pastikan segala buah fikiran dan cetusan idea yang terhasil di sini diterjemahkan menjadi dasar, produk dan amalan yang mampu mengangkat martabat serta membela masyarakat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mewakili Perdana Menteri membacakan teks ucapannya sempena Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) 2026, hari ini.

Anwar berkata, perkara itu penting ketika dunia berdepan ketidakstabilan ekonomi, ketegangan geopolitik dan jurang ketidaksamaan yang semakin meluas.

Katanya, persoalan berkaitan kewangan Islam bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya turut menyentuh aspek moral mengenai bagaimana sistem kewangan dapat berkhidmat kepada kemanusiaan.

“Bagaimanakah cara untuk kita memastikan bahawa kewangan itu berfungsi untuk berkhidmat kepada kemanusiaan dan bukannya kemanusiaan yang diperhambakan oleh kewangan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia dikenali sebagai antara perintis dalam ekosistem kewangan Islam global, namun kedudukan itu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai soal prestij.

Sebaliknya, katanya dunia memerlukan sistem kewangan yang berteraskan etika, keadilan dan ihsan.

Beliau berkata, kerangka Malaysia Madani menuntut keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan tanggungjawab moral, termasuk antara keuntungan dengan matlamat yang lebih murni.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *