Kestabilan Politik Kunci Tarik Banyak Pelabur Luar – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Khamis. Foto RTM

SHAH ALAM, 23 Nov – Kestabilan politik yang dikecapi bawah kerajaan perpaduan selama setahun berjaya mengundang banyak industri gergasi dunia untuk melabur di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ia termasuk syarikat Google, TikTok, Infineon Technologies AG, syarikat automatif China, Geely dan Tesla yang yakin dengan kemampuan Malaysia kerana kini mempunyai dasar jelas.

“Saya tanya mereka apa keistimewaan di Malaysia. Sekarang, alhamdulillah politik stabil. Politik stabil itu membantu memberi keyakinan kepada mereka, ada dasar yang jelas.

“Maknanya dia tahu, dia datang sini, ini dasar ekonominya, ini dasar perindustrian, ini ekonomi Madani, ini transisi tenaga. Saya bersyukur Malaysia menjadi perhatian semula selepas ketinggalan beberapa lama,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Khamis. Foto RTM

Anwar berkata kerajaan akan lebih agresif dan tegas untuk membawa perubahan bukan hanya untuk menyelamatkan negara malah mengangkat martabat negara di rantau ini dengan membawa lebih ramai pelabur, mengurus ekonomi dengan baik, melatih anak-anak tempatan dan mempunyai tatakelola baik.

“Negara ini tidak boleh lagi dikenali sebagai negara yang senang dan toleransi dengan rasuah serta penyelewengan, setiap dana mesti digunakan dengan baik di semua peringkat, daripada Perdana Menteri hingga ke bawah,” katanya.

Perdana Menteri berkata kestabilan politik sekarang juga akan menyukarkan hasrat segelintir pihak yang “mengidam” untuk mengambil alih kerajaan buat masa sekarang.

Pada masa sama, beliau juga menegur pihak-pihak yang bergaduh mengenai perbezaan agama dan kaum tetapi tidak menghiraukan masa depan anak-anak muda termasuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Sehubungan itu, Anwar meminta Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan agensi berkaitan agar menyediakan latihan kemahiran yang secukupnya khususnya di peringkat kemahiran tertinggi susulan terdapat teguran daripada pelabur yang memaklumkan kemahiran tertinggi pekerja di negara ini perlu dipertingkatkan.

“Geely menganggap nilai prestasi pekerja di Malaysia sangat baik dan memuaskan, tahap profesionalisme baik. Masalahnya satu sahaja iaitu tahap kemahiran tinggi kadang-kadang ada kekurangan,” katanya.

Menyentuh mengenai kelantangan beliau berkaitan isu Palestin, Anwar mengakui beliau menyuarakan isu tersebut di pentas antarabangsa mewakili rakyat Malaysia walaupun ia satu perkara yang sukar.

Beliau juga menyelar tindakan segelintir pihak di negara ini yang Perdana Menteri labelkan sebagai suara-suara sumbang, yang terus menyerangnya dalam hal berkenaan.

“Bukan saya nak minta berterima kasih. Kalau tidak terima kasih pun, janganlah kutuk lagi,” katanya.

Meskipun lantang menyuarakan isu Palestin ketika menghadiri Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, Anwar berkata ia tidak mengganggu keputusan syarikat besar termasuk dari AS untuk meneruskan pelaburan di Malaysia.

Menurutnya, syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) juga memutuskan untuk bersama mengambil ekuiti bagi membesarkan pelabuhan-pelabuhan di negara ini termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *