Kes Altantuya: Pendengaran Semakan Kehakiman Ditangguh Lagi

Dr Shaariibuu Setev memohon siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas pegawai polis, Cif Inspektor Azilah Hadri berhubung kes Altantuya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Misteri pembunuhan kejam melibatkan model warganegara Mongolia, Altantuya Shaaribuu mungkin memakan masa lebih panjang daripada jangkaan keluarga mendiang yang kehilangannya lebih 10 tahun lalu.
Ini setelah pendengaran permohonan semakan kehakiman oleh bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev berhubung siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas pegawai polis, Cif Inspektor Azilah Hadri di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, ditangguhkan ke 12 Januari tahun depan.
Peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili Shaariibuu berkata, penangguhan itu dibuat selepas responden memohon kebenaran untuk memfailkan afidavit jawapan terhadap afidavit yang difailkan pihaknya pada pagi Selasa.

Responden dalam kes berkenaan ialah Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia.
Sangeet berkata, dalam hujahan bertulis, responden mengambil pendirian bahawa anak guamnya selaku pemohon, tidak memberikan maklumat mengikut Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
“Sehubungan itu, responden berpendirian bahawa tiada kewajipan untuk memaklumkan kepada pemohon mengenai status siasatan.

“Susulan itu, kami mengemukakan jawapan kepada mahkamah, satu laporan polis yang dibuat oleh pemohon pada 2018. Ia secara khusus meminta supaya siasatan dijalankan berhubung pihak yang mengarahkan pembunuhan model itu,” katanya.
Pada 10 Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Azilah dengan pemenjaraan 40 tahun serta 12 sebatan selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan bekas pegawai polis itu bagi kesalahan membunuh Altantuya.
Mendiang dipercayai dibunuh pada 18 Oktober 2006 menggunakan bahan letupan gred tentera di kawasan Puncak Alam, Selangor yang menggemparkan negara.
Menurut sumber, pada tahun 2002, Abdul Razak menjadi perantara perjanjian AS$1.1 bilion untuk Kementerian Pertahanan Malaysia untuk membeli dua kapal selam kelas Scorpene Perancis. Altantuya didakwa meminta AS$500,000 untuk berdiam diri mengenai rasuah dalam perjanjian itu yang mencetuskan spekulasi bahawa inilah sebabnya dia dibunuh.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
