Kerajaan MADANI Siapkan Sekolah Sukan Malaysia Perlis Setelah Terbengkalai 12 Tahun – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 27 Oktober 2026. Foto Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai selama 12 tahun, akhirnya dijangka siap di bawah Kerajaan MADANI tahun ini dan boleh beroperasi mulai tahun depan.
Perkembangan tersebut dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di media sosial seraya berkata, penyelesaian projek berkenaan diarahkan segera selepas perkara itu dibangkitkan Menteri Besar Perlis ketika lawatan beliau ke negeri itu pada April tahun lalu.
Tambah Anwar, Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan projek berkenaan dalam tempoh kurang dua tahun walaupun diabaikan pentadbiran terdahulu sejak 2014.
“Insya-Allah, tahun ini Sekolah Sukan Malaysia Perlis siap dan boleh mula digunakan tahun depan.
“Terbengkalai selama 12 tahun, alhamdulillah Kerajaan MADANI selesaikan dalam kurang dua tahun. Tahniah Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina pula memberitahu, kemudahan berkenaan akan dapat meningkatkan akses kepada pelbagai aktiviti sukan dan riadah bukan sahaja kepada para pelajar malah negeri Perlis secara keseluruhannya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
