Kerajaan MADANI Pandang Serius Peningkatan Kes Demam Denggi – Fahmi
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya pada 9 September 2026. Foto Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA, 9 Sep – Jemaah Menteri memandang serius peningkatan kes demam denggi di seluruh negara yang naik mendadak sebanyak 66 peratus setakat minggu epidemik ke-35 tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kebimbangan tersebut dikongsikan Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkembangan semasa itu sekali gus mendorong kerajaan memperhebat langkah pencegahan termasuk penganjuran program gotong-royong berskala besar.

Menurutnya, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa sebanyak 65,979 kes denggi direkodkan setakat minggu epidemik ke-35 tahun ini berbanding 39,616 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah kematian akibat denggi turut menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila meningkat kepada 62 kes berbanding 32 kes pada tahun lalu.
“Jemaah Menteri telah menerima taklimat mengenai situasi denggi yang menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus bagi jumlah kes dan hampir 94 peratus bagi jumlah kematian berbanding tahun lalu,” katanya.

Mengulas langkah kawalan, Fahmi berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan program gotong-royong besar-besaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Katanya, kerajaan turut dimaklumkan mengenai keberkesanan program pelepasan nyamuk Wolbachia yang berjaya mengurangkan penularan virus denggi di beberapa kawasan termasuk Putrajaya.
Bagaimanapun, beliau berkata, proses semburan asap (fogging) boleh menyebabkan spesis nyamuk Wolbachia turut mati sekali gus menjejaskan usaha pembiakan spesies berkenaan yang berfungsi menghalang penyebaran virus Aedes.
Sehubungan itu, katanya, usaha gotong-royong dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk perlu dipertingkat terutama di kawasan zon merah dan lokasi yang dikenal pasti berlaku wabak.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
