Kerajaan MADANI Kaji RUU Khairat Kawal Selia Entiti Amanah, Pendanaan Awam – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional Bil 10/2026 di Putrajaya pada 1 Oktober 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kerajaan MADANI akan melaksanakan kajian undang-undang bagi merangka dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang (RUU) Khairat bagi mengawal selia entiti amanah dan pendanaan awam.
Perkara tersebut dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Bilangan 10/2026 menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Mesyuarat itu antara lain memberi tumpuan kepada usaha membanteras ketirisan wang awam dan salah guna kuasa, khususnya melibatkan Badan Berkanun Persekutuan.

Tambah Anwar, langkah itu penting bagi memastikan dana yang diamanahkan diurus secara telus dan bertanggungjawab.
“Mesyuarat bersetuju supaya kajian undang-undang dilaksanakan bagi merangka dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang Khairat untuk mengawal selia entiti amanah dan pendanaan awam.
“Langkah ini penting bagi memastikan dana yang diamanahkan diurus secara telus dan bertanggungjawab,” katanya.

“Saya tegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang mesti disertai pembudayaan integriti dan tatakelola baik secara berterusan dalam sektor awam, swasta serta masyarakat,” katanya.
Mesyuarat juga turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Pembudayaan Nilai Perkhidmatan Awam.
Pada masa sama katanya, dasar bagi Rang Undang-Undang Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi memperkukuh disiplin serta kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan.

Mesyuarat memperakui tujuh resolusi yang dibentangkan semasa Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima pada 25 September lalu.
“Kerajaan MADANI akan terus memperteguh integriti perkhidmatan awam dan menutup ruang ketirisan serta salah guna kuasa.
“Setiap ringgit wang awam adalah amanah rakyat yang mesti dijaga, dan setiap kuasa yang diberikan mesti digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
