Keracunan Makanan, 120 Orang Dikejar Ke Hospital, 30 Di ICU

Seramai 30 daripada 120 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) disyaki mengalami keracunan makanan pada Isnin. Foto AFP

MOSCOW, 18 Jun – Lebih 120 orang dilapor mendapatkan bantuan perubatan kerana disyaki mengalami keracunan makanan.

30 orang daripada mereka kini ditempatkan dalam unit rawatan rapi (ICU) disyaki mengalami kesan serius.

Pesakit dimasukkan ke hospital disyaki mengalami simptom botulisme iaitu keadaan mengancam nyawa yang menyerang sistem saraf dan boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan lumpuh.

Pihak berkuasa Rusia berkata ia berasal daripada salad yang diedarkan oleh perkhidmatan penghantaran dalam talian popular.

Syarikat itu kemudiannya menangguhkan operasinya buat sementara.

“Secara keseluruhan 121 orang mendapatkan bantuan perubatan,” agensi berita negara memetik Anastasia Rakova, timbalan datuk bandar Moscow, pada hari Isnin.

“Pada masa ini 55 orang berada dalam keadaan serius, 30 daripadanya dalam rawatan rapi,” tambahnya.

Pemerhati pengguna dan kesihatan bandar itu, Rospotrebnadzor, berkata pada Sabtu ia sedang menjalankan “penyiasatan epidemiologi ke atas kes yang disyaki botulisme”.

Pejabat pendakwa raya Moscow berkata ia telah melancarkan siasatan jenayah ke atas pelanggaran piawaian keselamatan pengguna.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kes botulisme bawaan makanan boleh membawa maut tanpa rawatan pantas dengan antitoksin.

Botulisme adalah keadaan yang sangat jarang berlaku, biasanya disebabkan oleh makanan yang diproses secara tidak betul dan dikaitkan dengan barangan dalam tin dan diawet.

Syarikat penghantaran makanan yang dikaitkan dengan wabak itu, Kuchnia Na Rayone (“dapur tempatan”), berkata ia telah mengenal pasti “kemungkinan insiden risiko” dengan salad yang menggunakan kacang tin, dan ia telah menggantung pesanan.

Terdapat 82 kes botulisme yang disahkan di seluruh Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) pada 2021, tahun terakhir data yang tersedia, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *