Keputusan Speaker Terhadap 6 Bekas MP Bersatu Ikut Undang-Undang – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi bergambar beramai-ramai bersama tetamu pada Global MADANI Forum 2024 pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Jul – Tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu kekal sebagai wakil rakyat adalah berdasarkan Perlembagaan dan taksiran dari sudut undang-undang.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia berdasarkan pemahaman Johari yang juga membaca dan membuat tafsiran undang-undang berkaitan secara keseluruhannya, dan perkara itu seharusnya diketahui dengan jelas oleh pimpinan parti Bersatu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bergambar bersama tetamu pada Global MADANI Forum 2024 pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Sambil menempelak Muhyiddin Yassin berkenaan hal itu, Anwar menjelaskan ini kerana parti Bersatu telah menentang supaya keahlian sesiapa (Ahli Parlimen) yang dipecat daripada parti gugur secara automatik semasa perbincangan mengenai undang-undang itu dilakukan.

“Kita tahu, kerana kita semasa itu sebagai pembangkang yang berkeras mahu masukkan bahagian kalau dipecat sekali pun mesti gugur, tetapi mereka menentang. Ini semua ada rekodnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Global MADANI Forum 2024 di sini pada Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian Global MADANI Forum 2024 pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Forum selama dua hari bermula semalam dengan tema ‘Catalysing The Next Civilisational Revival’ itu turut dihadiri Johari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Anwar berkata, walaupun beliau tidak menyertai perbincangan itu, namun beliau difahamkan ia dihadiri oleh wakil kerajaan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar manakala Pakatan Harapan (PH) diwakili Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir bersama tetamu jemputan pada Global MADANI Forum 2024 pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Ditanya jika keputusan Johari boleh ‘memakan diri’, sekiranya selepas ini ada Ahli Parlimen menarik sokongan terhadap kerajaan tanpa perlu bimbang kehilangan kerusi masing-masing, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa ‘ia adalah berdasarkan undang-undang’.

“Ini bukan ikut soal PM (Perdana Menteri). Ini mengikut Perlembagaan dan tafsiran undang-undang. Itu kita serah kepada Speaker,” katanya.

Semalam Muhyiddin mengesahkan parti itu menerima surat daripada Johari pada lewat petang 9 Julai yang menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk enam kerusi Parlimen bekas ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Enam Ahli Parlimen yang terkait dengan isu terlibat adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *