Keprihatinan PM Anwar Selesai Isu Projek Di Sempadan Bakal Beri Limpahan Ekonomi Di Utara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin meninjau pelan projek jajaran sambungan kedua-dua negara antara Sadao dan Bukit Kayu Hitam pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

BUKIT KAYU HITAM, 28 Nov – Projek jajaran jalan menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand akan direalisasikan dalam masa terdekat.

Setelah bertahun-tahun tergendala, akhirnya dengan kepantasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya di Thailand Srettha Thavisin, ia bakal memberi limpahan ekonomi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara itu.

Ia sekaligus membawa kemajuan pesat yang akan dicapai setelah kedua-dua negara sepakat menyelesaikan prospek ekonomi termasuk pembinaan dua pelabuhan baharu yang dijangka menjadi pemangkin utama ekonomi Malaysia dan Thailand.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, jaringan jalan penghubung itu terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5 dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter. 

Menurut beliau, perkara itu dicapai hasil lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sempadan kedua-dua negara atas jemputan rakan sejawat beliau di Thailand, Srettha Thavisin, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin meninjau pelan projek jajaran sambungan kedua-dua negara antara Sadao dan Bukit Kayu Hitam pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Kerajaan Malaysia dan Thailand telah bersetuju secara dasarnya berhubung jajaran reka bentuk dan isu teknikal yang berkaitan agar projek ini dapat dilaksanakan bagi memastikan tahap kesalinghubungan antara kedua-dua negara dapat ditingkatkan.

“Kementerian Kerja Raya yakin dengan terbinanya jajaran baharu ini, keselesaan dan keselamatan pengguna dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi Kempen MyJalan. 

“Pada masa yang sama, jalan baharu ini dijangka dapat meningkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Tambah beliau, projek jalan itu turut melibatkan pengambilan tanah, perobohan dan pembinaan baharu Blok Asrama Kem Rejimen Sempadan (5RS) serta beberapa struktur keselamatan lain seperti Pos Kawalan Akhir dan pagar keselamatan yang terkesan daripada jajaran tersebut.

Semalam, Alexander turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan kerja sehari itu antaranya melawat Kompleks CIQ Sadao; ICQS Bukit Kayu Hitam, mesyuarat dua hala, makan tengah hari yang dihoskan Srettha serta meninjau tapak titik pertemuan projek jajaran jalan berkenaan.

Lawatan Kerja PM Anwar Ke Sadao Antara Usaha Eratkan Lagi Hubungan Dua Hala

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memuktamadkan sebarang rundingan mengenai isu berbangkit melibatkan sempadan kedua-dua negara dalam tempoh dua minggu.

Menurut Anwar, ianya penting untuk menjadikan kawasan di utara semenanjung Malaysia dan selatan Thailand itu sebagai kawasan pertumbuhan, pembangunan dan kegiatan ekonomi yang memanfaatkan kedua-dua negara.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *