Keperibadian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Yang Wajar Diteladani Rakyat Malaysia
Betapa perit melihat Tun Dr. Siti Hasmah meninggalkan Tun Dr. Mahathir setelah lebih 70 tahun melayari bahtera rumahtangga berdepan cabaran dan dugaan. Foto JPM
PENDAPAT, 29 Sep – Pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pada usia 100 tahun, dan selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, bukan sekadar meninggalkan warisan keperibadian yang wajar dicontohi seluruh rakyat Malaysia, bahkan menjadi suri teladan buat setiap insan.
Beliau antara wanita Melayu terawal mendaftar dalam kursus perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, dan menjadi antara doktor wanita Melayu terawal di Tanah Melayu. Pada zaman ketika peluang pendidikan tinggi untuk wanita amat terhad, kegigihan beliau membuka jalan buat generasi seterusnya untuk terus gigih berusaha mencapai kejayaan dalam apa jua bidang.

Berkhidmat dalam sektor kesihatan awam serta aktif dalam kegiatan kesihatan dan kebajikan masyarakat, termasuk sebagai wanita pertama dilantik Pegawai Perubatan di Bahagian Kesihatan Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak pada 1965, menunjukkan bahawa ilmu di dada perlu disalurkan demi manfaat masyarakat.
Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih tujuh dekad sejak zaman belajar dan mendirikan rumah tangga pada 1956, serta membesarkan tujuh orang anak sambil menyokong suaminya sepanjang dua penggal kepimpinan negara, membuktikan kesetiaan beliau tidak berbelah bahagi sehingga hujung nyawa.
Bermain badminton secara kompetitif sehingga usia 75 tahun, menjadikan beliau dianggap sebagai “ibu” kepada barisan pemain badminton negara dan turut menjadi penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia mengajak rakyat agar mengutamakan kesihatan melalui riadah dan sukan.

Walaupun menjadi isteri Perdana Menteri paling lama dan menerima gelaran Tun, beliau kekal dikenang sebagai tokoh yang lebih dikenali melalui sumbangan kepada masyarakat daripada status dan kedudukan suaminya kerana menjadi tulang belakang keharmonian keluarga.
Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, dan semangat beliau terus menjadi inspirasi buat rakyat Malaysia, khususnya kaum wanita, untuk berani bermimpi, berilmu dan berbakti.
Al Fatihah.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
