Kenaikan Tambang Bas Singapura Bukti Penyasaran Diesel Wajar Diteruskan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penyasaran subsidi diesel amat penting untuk negara bagi menyelamatkan dana yang bocor. Beliau ditemui ketika Majlis Korban Perdana MADANI di Bukit Mertajam pada Selasa. Foto Facebook Anwar Ibrahim

BUKIT MERTAJAM, 18 Jun – Kenaikan harga tambang pengangkutan yang dikenakan agensi pelancongan dan bas penumpang Singapura serta beberapa siri penangkapan sindiket penyelewengan diesel di sempadan negara membuktikan penyasaran subsidi bahan api itu wajar diteruskan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penyasaran subsidi diesel amat penting untuk negara bagi menyelamatkan dana yang bocor dan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Kenduri Korban MADANI di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Foto RTM

“Semua bas pelancong dan syarikat pelancongan dari Singapura nak naik harga kerana katanya tidak dapat subsidi diesel. Maknanya selama ini berpuluh tahun, subsidi kita pergi ke syarikat Singapura, pergi ke kapal-kapal nelayan Siam (Thailand). Bocor (dana) banyak.

“Subsidi dimanfaatkan oleh 3.8 juta orang asing, dibawa keluar ke Siam, dia bagi hantar kepada kapal nelayan Siam yang bayar cukai rakyat Malaysia, tetapi yang dapat manfaat orang asing,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menziarahi Ustazah Salmah Abu Bakar di kediamannya di Kampung Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam pada Selasa. Foto RTM

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah pengeluaran kereta dari 2012 hingga 2020 sedikit berbanding peningkatan melambung diesel yang dikeluarkan kerana bahan api terbabit dinikmati warga asing.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan terdapat beberapa masalah berikutan langkah penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan buat julung kali di Malaysia, namun berjanji akan memperbaiki kelemahan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikelilingi sanak saudara ketika menziarahi kediaman keluarga di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Kata Anwar beliau bersikap terbuka menerima sebarang cadangan mengenai penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan.

“Saya ambil sikap terbuka, kalau ada beberapa kelemahan, maklum, kita betulkan. Ini percubaan awal yang tentunya menghadapi sedikit sebanyak masalah, saya tidak nafikan tetapi cerca seolah-olah kerajaan zalim, itu tidak boleh,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah menziarahi Ustazah Salmah (tengah) di kediamannya di Cherok Tok Kun di sini hari ini. Foto Bernama

Beliau berkata kerajaan dan pemimpin-pemimpin sebelum ini juga bersetuju dengan penyasaran subsidi diesel kerana ia adalah langkah yang betul bagi mengelakkan pembaziran subsidi, sekali gus memulangkan penjimatan kepada rakyat.

Menyentuh mengenai penurunan harga runcit telur ayam sebanyak RM0.03 sebiji, Datuk Anwar berkata ia langkah awal bagi mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat kerana ia adalah makanan yang paling banyak digunakan oleh rakyat di peringkat bawah.

“Kita buat kajian (didapati) keluarga paling banyak gunakan ialah telur, keluarga sederhana, miskin ambil telur empat biji sehari. Oleh itu, kita bincang dengan syarikat dan tanya untung serta turunkan sedikit harga telur, tetapi tak rugi (bagi syarikat) dan kalau ada cara-cara yang lain, saya boleh ikhtiarkan,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *