KEADILAN Wajar Berusaha Bangkit Lebih Bersinergi Menangi Undi Orang Melayu

Nur Aishah (tiga dari kiri) bersama Aiman Athirah (tiga dari kanan) semasa berkempen pada PRK DUN Sungai Bakap baru-baru ini. Adalah wajar KEADILAN memperbaiki kelemahan bagi merampas kembali kerusi berkenaan pada masa akan datang.

PENDAPAT, 10 Jul – Impian dan hasrat yang menggunung daripada ahli serta para penyokong KEADILAN yang berharap kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap mampu dicipta dan hendak dijadikan permulaan kebangkitan bagi memadamkan gelombang hijau, tetapi malangnya telah berakhir dengan kegagalan memeritkan.

Sadisnya yang kegagalan itu bukannya dialami oleh KEADILAN di negeri ini sekali tetapi sudah berkali-kali selepas melalui satu pilihan raya umum dan negeri.

Belum sempat untuk kepimpinan KEADILAN menyusun atau merangka strategi yang dapat memulihkan parti telah berlaku keadaan luar jangka di mana satu PRK perlu diadakan di DUN Sungai Bakap.

Nurul Izzah bersama Joohari ketika sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan Sungai Bakap. Foto Bernama

Sepanjang tempoh berkempen, pelbagai usaha dan pendekatan telah pun dilakukan untuk memenangkan calon bertanding malangnya saat tibanya di hari pembuangan undi di mana keputusan akhirnya memihak ke atas parti lawan iaitu Perikatan Nasional (PN).

Berkongsi cerita pengalaman yang dilalui sendiri oleh Nur Aishah Zainol semasa ikut serta berkempen bersama jentera Wanita KEADILAN segala keringat dan kudrat telahpun dicurahkan tanpa mengira penat lelah dari hari ke hari sehinggalah ke tempoh akhir berkempen demi perpaduan Sungai Bakap.

Melanjutkan lagi, Aishah akhirnya akur terpaksa menerima kekalahan calon Kerajaan Perpaduan dengan hati terbuka dan tidak pernah menganggap bahawa kegagalan yang dialami ini merupakan satu pengakhiran buat dirinya untuk tidak lagi terbabit dengan kempen pilihan raya pada masa akan datang.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin, hadir bagi meninjau pusat mengundi pada 10.07 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Sheh Barakbah, Sungai Bakap pada Sabtu. Foto Mutiara FM

Sekalipun zahirnya beliau Nur Aishah tetap kelihatan tenang namun hakikatnya perasaan kecewa tidak dapat hendak disembunyikan malahan beliau seperti seakan tidak percaya disebalik keputusan yang tidak berpihak ke atas calon KEADILAN iaitu Dr. Joohari Ariffin.

Bayangan kemenangan awal mula dapat dirasai ditambah pula dengan kehadiran beberapa kepimpinan utama WANITA KEADILAN pusat malah diserikan lagi suasana berkempen dengan mendapat sokongan padu daripada tetamu khas iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut membuat tinjauan di beberapa lokasi pusat JDM Sungai Bakap.

Bukan itu sahaja diharap kehadiran Datuk Seri Dr. Wan Azizah dapat menyuntik moral dan semangat berkempen buat jentera WANITA KEADILAN melakukan kempen lebih agresif lagi.

MENANG ATAU KALAH BUKANLAH ALASAN

Namun apa yang lebih mengejutkan Aishah ialah kerana calon berprofil tinggi seperti Dr. Joohari yang merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) boleh terbungkam di tangan calon kerdil parti lawan seperti Abidin Ismail.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada Sembang Durian YBs di Singai Bakap, pada Khamis. Foto Bernama

Memeritkan lagi parti lawan menang dengan kelebihan majoriti yang agak tinggi berbanding keputusan pada PRN lalu. Mengakhiri perbualannya dengan penulis katanya; yang perjuangannya di dalam parti KEADILAN mesti diteruskan dan lawan tetap lawan meskipun parti kesayangannya itu telah kecundang banyak kali.

“Walau apapun yang terjadi pada parti itu sekalipun yang keadaannya dikatakan telah melemah seperti kalah teruk di Sungai Bakap tempoh hari kerana apa yang penting jangan sekali-kali mudah lentur semangat atau lekas berputus asa sebab sesuatu perjuangan itu biarpun tidak menghasilkan kemenangan sebaik-baiknya hendaklah akur dan terus tetap setia bersama parti,“ ujar Nur Aishah.

PARTI PILIHAN ORANG MELAYU

Susulan kemenangan yang akhirnya tetap berpihak ke atas Pas mewakili PN secara tidak langsung mereka meneruskan cengkamannya dan menguasai hampir separuh daripada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang terutamanya yang kawasan pengundinya majoriti adalah terdiri daripada orang Melayu.

Pengundi DUN Sungai Bakap amat bertuah memiliki Cikgu Joohari yang amat prihatin dengan apa sahaja masalah yang diutarakan sepanjang kempen PRK kali ini.

Contohnya yang terdapat di enam pusat JDM Dun Sungai Bakap kebanyakannya pengundinya adalah orang Melayu. Keputusan pada PRK DUN Sungai Bakap memberikan petunjuk bahawa parti politik yang berteraskan Melayu adalah menjadi pilihan pengundi orang Melayu.

ANGKUBAH BAHARU

Pola pengundian masa depan serta demografi pengundi di kawasan majoriti orang Melayu merupakan cabaran paling getir untuk diharungi oleh jentera KEADILAN malah menuntut kerja lebih keras belipat kali ganda bagi memujuk dan memenangi hati pengundi orang Melayu.

Kekalahan terbaharu di Sungai Bakap, tempoh hari jelas menunjukkan parti KEADILAN seolah telah bertambah lemah bahkan rentetan kekalahan yang bermula sejak PRU dan PRN lalu masih belum terdapat tanda-tanda untuk bangkit.

Persoalan lain timbul tidakkah kepimpinan parti KEADILAN di peringkat negeri selama ini melaksanakan beberapa post mortem untuk dijadikan panduan dan memperlihatkan akan hasilnya pada angkubah baharu yang dapat memberikan petanda positif bahawa parti KEADILAN negeri ini dipercayai akan mampu bangkit.

Sebagai seorang doktor, memeriksa mata menjadi suatu kemestian Dr. Wan Azizah setiap kali turun padang meninjau situasi harian rakyat.

Setidak-tidaknya terdapat sebarang usaha untuk melakukan clearing atau home work yakni dengan satu tujuan ke arah membina kekuatan dan memperkukuhkan parti KEADILAN yang suatu ketika masa lalu pernah menjadi kegerunan pihak parti lawan dengan laungan keramat “Reformasi”.

PENCATUR CALON BERTANDING?

Penulisan ini selanjutnya tidak mahu hendak menyinggung secara panjang lebar akan sebab musabab atau punca yang dikatakan menyumbang kepada kekalahan parti KEADILAN di negeri Pulau Pinang termasuklah pada PRK Sungai Bakap.

Namun tidak keterlaluan kerana sejak daripada sebelum diadakan pilihan raya negeri, penulis berpandangan bahawa kemungkinan terdapatnya tukang pencatur yang mengaturkan individu tertentu untuk dipilih menjadi calon bertanding.

Maksudnya siapakah individu berkenaan yang sepatutnya untuk dicalonkan atau disingkirkan daripada dapat bertanding mungkin itulah agaknya yang berlaku pada parti KEADILAN negeri ini.

Sebagai contoh terdekat baru-baru ini di PRK Sungai Bakap terdapat calon lain yang difikirkan layak untuk dipilih bertanding akan tetapi nama individu lain pula yang tiada mengena dengan penglibatan parti KEADILAN secara langsung diangkat sebagai calon bertanding.

Nur Aishah biarpun kecewa dengan keputusan PRK DUN Sungai Bakap namun ia mesti dijadikan pedoman untuk kembali memperkuatkan KEADILAN bagi PRU akan datang.

Penulis bukanlah untuk meninggikan diri kerana pengalaman pernah bersama dengan beberapa orang penganalisis politik negara sedikit sebanyak telah mendapat pendedahan berguna akan selok belok dalam menanggapi hal ehwal politik sudah dapat mengagak lebih awal mengenai potensi dan kedudukan calon yang dipertaruhkan oleh kepimpinan KEADILAN pusat untuk menang di Sungai Bakap tampak agak sukar.

PENGAJARAN

Bukanlah berniat untuk mempertikaikan pihak kepimpinan KEADILAN yang memilih calon berkenaan akan tetapi ianya terbukti benar bahawa bukanlah menjadi pilihan utama buat para pengundi lebih-lebih lagi di kawasan perkampungan orang Melayu.

Meletakkan calon yang bukan datang daripada jalur politik boleh dianggap menyalahi adat kebiasaan yang jarang-jarang dilakukan oleh parti bertanding.

Apa yang lebih penting seseorang calon itu memiliki beberapa kriteria lain selain memiliki latar pendidikan tinggi. Sebagai contoh seseorang calon itu hendaklah dikenali serta mendapat kepercayaan penduduk dan mampu memberikan khidmat masyarakat dengan baik apabila dipilih kelak sebagai seorang wakil rakyat.

IKTIBAR KEKALAHAN

Artikel ini bukanlah yang pertama kali malah berkali-kali kerap disiarkan mungkin tidak dihiraukan apatahlagi untuk diambil perhatian serius oleh pihak kepimpinan KEADILAN terlibat malah jauh sekali untuk diterimanya secara positif.

Bertambah sadis lagi yang penulis pernah dikecam oleh orang muda di Permatang Pauh gara-gara menyentuh dan mempertikaikan kemampuan pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN negeri ini bahkan mereka memulau penulis agar tidak menjejak kaki lagi ke kawasan sekitar Permatang Pauh.

Secara jujurnya di lubuk hati penulis apa yang telah dimuatkan pada artikel yang sebelumnya tidaklah dianggap menjadi satu kesalahan.

Salahkah sekiranya setiap lontaran itu mewakili suara atau pandangan serta hasil dapatan daripada temu bual atau soal selidik dilakukan ke atas beberapa orang responden yang terdiri ahli dan penyokong parti KEADILAN?

IMPAK CALON BERTANDING?

Impak daripada tukang pencatur calon bertanding yang mewakili parti KEADILAN terutamanya calon mewakili orang Melayu maka hasilnya adalah daripada apa yang telah kita saksikan sekarang ini.

Hanya disebabkan kerana mengangkat calon bertanding yang tiada pernah terlibat secara langsung apatahlagi di dalam gerak kerja parti terbukti mengundang beberapa masalah terutamanya ketika menjalankan gerak kerja berkempen pilihan raya.

Lagipun bukanlah merupakan prasyarat utama untuk seseorang individu itu yang memiliki kelayakan lebih tinggi atau memiliki sejarah kerjaya lama untuk dipilih menjadi calon bertanding di peringkat DUN.

Walau bagaimanapun tidak dinafikan yang latar pendidikan seseorang calon bertanding juga sama penting akan tetapi itu hanyalah dianggap sekadar bonus tambahan sahaja untuk dijadikan satu persaingan terhadap calon daripada pihak parti lawan.

Abidin sebagai bukti yang tidak berbekalkan dengan kelayakan pendidikan tinggi tetapi mampu membawakan untuk partinya menang lebih bergaya mengalahkan calon KEADILAN dikatakan lebih hebat seperti Dr. Joohari di Sungai Bakap.

Individu atau calon bertanding yang dipercayai seorang yang berpengaruh malah mudah dikenali kerana penglibatannya dalam kegiatan aktiviti masyarakat merupakan satu kelebihan istimewa yang menyerlahkan kepimpinannya sekali gus berupaya menarik lebih sokongan pengundi.

PERKEMAS PARTI

Pelbagai pihak juga berpandangan dan mengemukakan beberapa syor atau cadangan agar diusahakan supaya KEADILAN di negeri ini terus bangkit dengan lebih bersinergi dan pada masa sama mendapatkan formula serta solusi terbaik bagi mengelakkan parti KEADILAN daripada menerima kekalahan berulang lebih buruk lagi.

Sebaik-baiknya di pihak kepimpinan KEADILAN negeri ini haruslah mendapatkan nasihat serta menerima pandangan akar umbi ahli demi kelangsungan parti KEADILAN kelak.

Bukan itu sahaja, sebarang usaha untuk memperbetulkan dan memperkemaskan lagi sayap parti KEADILAN yang terdiri daripada Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Wanita KEADILAN yang menjadi titik tolak permulaan kebangkitan dengan memastikan dua sayap penting ini dapat memainkan peranan lebih proaktif dan agresif.

Makanya, tidak boleh juga dilupakan sekiranya terdapat beberapa individu yang dikenalpasti berpotensi serta memiliki bakat kepimpinan baik di peringkat komuniti mahupun di dalam parti hendaklah diberikan
pendedahan serta latihan agar lebih menyerlah bakat kepimpinannya yang kemudiannya diangkat terus sebagai pemimpin pelapis parti KEADILAN masa hadapan.

Justeru, masih belum terlambat lagi untuk epimpinan KEADILAN negeri berbuat sesuatu yang boleh mengembalikan reputasi parti KEADILAN daripada terus berada dalam keadaan melemah atau lesu berubah menjadi sebuah parti politik yang lebih perkasa kelak.

– Pemerhati Bebas Politik


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *