KEADILAN Rakam Penghargaan Kepada PM Anwar Naikkan Elaun Warga PEDi RM500

Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan kenaikan elaun kepada pengurus dan penolong pengurus PEDi bermula Januari depan. Foto Andre Lai
KUALA LUMPUR, 30 Nov – KEADILAN Wangsa Maju menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan elaun pengurus dan penolong pengurus Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negara berkuatkuasa Januari tahun depan.
Menurut Ketua Cabangnya, Andre Lai menyifatkan ia sebagai pengiktirafan tertinggi diberikan kerajaan kerana mereka telah banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi digital sejak mula diperkenalkan pada 2007.
”Saya mewakili KEADILAN Cabang Wangsa Maju merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar kerana meluluskan kenaikan elaun sebanyak RM500 kepada pengurus dan penolong pengurus PEDi walaupun difahamkan pada awalnya ia hanya akan dilaksanakan April tahun depan.
”Ini membuktikan Perdana Menteri amat menghargai kesungguhan dan komitmen mereka dalam memastikan ekonomi digital di kawasan masing-masing dipertingkatkan selaras dengan hasrat kerajaan mewujudkan lebih ramai usahawan digital menjelang 2025,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu hari ini.

Tambah Andre, PEDi yang dirancakkan semula oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berjaya meningkatkan penyertaan serta jumlah transaksi di kesemua 911 PEDi yang beroperasi di seluruh negara ketika ini.
”Kesungguhan Menteri KKD (Fahmi) memastikan setiap PEDi melaksanakan pelbagai strategi dan program bagi para peserta ternyata memacu ekonomi digital dan memberi peluang baharu bagi usahawan desa meluaskan jaringan perniagaan masing-masing selaras kerangka Ekonomi MADANI yang diluncurkan PM pada 27 Julai lalu,” ujarnya.
PEDi merupakan inisiatif KKD melalui SKMM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang memberi peluang kepada komuniti setempat memperkasa kemahiran digital dan menjana pendapatan melalui platform e-Dagang.
Sebagi contoh, Fahmi sendiri mengadakan tinjauan ke PEDi RP Seberang Terus, Alor Setar pada 29 Mac lalu bagi meninjau perkembangan terkini aktiviti ekonomi yang diusahakan para usahawan tempatan.
Sehingga kini seramai 1,898 daripada 4,994 peserta di PEDi RP Seberang Terus telah berjaya dilatih menguasai ICT melalui program yang ditawarkan.
Sebanyak 3.2 juta penyertaan telah diterima melalui program dan latihan ICT, Keusahawanan, Advokasi dan lain-lain dari PEDi di seluruh negara.
Terdahulu pada Rabu, Anwar mengumumkan seramai 801 Pengurus dan 521 Penolong Pengurus PEDi seluruh negara akan menerima kenaikan elaun sebanyak RM500 bermula Januari depan.
Berita itu dikongsikan Anwar ketika berucap merasmikan Persidangan PEDi Madani 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang menghimpunkan kesemua penggiat langsung PEDi dari seluruh negara.
Menurut Perdana Menteri, elaun Pengurus PEDi akan dinaikkan daripada RM2,000 ke RM2,500, manakala elaun Penolong Pengurus dinaikkan kepada RM2,000 berbanding RM1,500 sebelum ini.
Katanya, sepatutnya elaun baharu itu dijadual diberikan pada April tahun depan, namun kerajaan bersetuju mempercepatkan bayarannya bermula Januari 2024.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut menggesa pemain industri telekomunikasi untuk memberi lebih tumpuan kepada aspek berkenaan supaya agenda pembangunan negara dapat diperluas bukan sahaja melibatkan aspek teknologi.
“Saya gesa selain dibuat oleh kementerian dan PEDi, saya mahu syarikat telekomunikasi beri tumpuan supaya agenda pembangunan negara bukan sahaja kecanggihan teknologi, tetapi bantu rakyat melalui PEDi supaya kemudahan itu tidak diperoleh oleh kerajaan, (tetapi) syarikat telekomunikasi untuk berkembang maju.
Andre yang juga Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan berkata peranan Fahmi amat berkesan dalam memastikan usaha-usaha berterusan seiring dengan kepesatan teknologi digital negara dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi membolehkan mereka memperolehi pendapatan lumayan dalam tempoh dua tahun lagi.

”Kami di KEADILAN Wilayah Persekutuan juga amat berharap YB Menteri (Fahmi) dapat terus diberi peluang meluaskan jaringan PEDi dengan lebih ramai penyertaan orang muda dan wanita termasuk di Sabah dan Sarawak bagi mencapai objektif sebenar PEDi yang kini berubah kepada memacu ekonomi digital sepenuhnya menjelang 2027,” tambahnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
