Kastam Tumpas Sindiket Dadah Sorok Dalam Kotak Perkakas Rumah

Norizan (tengah) bersama pegawai Kastam menunjukkan hasil rampasan dadah berkenaan di Kuching. Foto UB

KUCHING, 10 Jul – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas kira-kira 60.67 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta dalam satu operasi pada 4 Julai lalu.

Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata sepasukan pegawai Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Narkotik Sarawak melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori di pekarangan sebuah syarikat kargo di pusat bandar raya ini sekitar jam 3.50 petang.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati lori tersebut membawa kotak-kotak barangan perkakas rumah.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas 10 kotak berkenaan telah membawa kepada penemuan 60 paket berwarna keemasan bercetakan ‘Guan Yi Wang’, di mana di dalamnya mengandungi ketulan kristal.

“Hasil ujian yang dilakukan ke atas ketulan kristal tersebut mendapati ia positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Kesemua 60 peket ketulan kristal berkenaan mempunyai berat kasar 60,670 gram yang dianggarkan bernilai keseluruhan sekitar RM1,907,600,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kastam Sarawak, di sini hari ini.

Tambahnya, dua lelaki warga tempatan berusia 20an turut ditangkap dalam operasi tersebut untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat dalam kes ini.

“Dengan jumlah berat yang agak signifikan, maka kita tidak menolak kemungkinan ramai individu yang terlibat,” katanya.

Mengenai modus operandi, Norizan memberitahu bekalan dadah tersebut dihantar mengunakan perkhidmatan kargo udara dari Kuala Lumpur ke Kuching.

“Suspek juga membuat pengikraran tidak benar pada borang Kastam iaitu menyembunyikan bahan narkotik bersama barangan perkakas rumah yang mana kita percaya bagi mengelakkan dengan mudah dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sehubungan itu, JKDM mengesa orang ramai untuk membantu bersama-sama memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras dan lain.

Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat Kastam.

“Pihak Kastam memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” ujarnya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *