Kantoi Dengan Netizen, TFC Pulang Semula Wang Tajaan Daripada Syarikat Meragukan

Setelah kantoi dengan netizen, barulah Terengganu FC (TFC) bertindak memulangkan wang tajaan sebanyak RM1.5 juta daripada sebuah syarikat yang disenaraikan ‘scam’ oleh Bank Negara (BNM).

KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Setelah didedahkan netizen di media sosial dan beberapa pendedahan mengejutkan, Terengganu FC (TFC) bertindak membatalkan penajaan bernilai RM1.5 juta daripada XFOX Market Holdings Sdn. Bhd.

Ia juga dibuat berikutan desakan dan bantahan keras penyokong skuad Sang Penyu sendiri berhubung kontroversi status syarikat tersebut.

Perjanjian penajaan utama bagi TFC untuk mengharungi saingan Piala AFF Shopee itu baru dimenterai antara kedua-dua pihak pada kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd. Sabri Abas berkata, keputusan membatalkan penajaan tersebut dibuat dengan mengambil kira bantahan keras penyokong tegar skuad Sang Penyu berkenaan.

Senarai syarikat di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menyenaraikan syarikat ‘scam’ yang disahkan Bank Negara (BNM).

Berikut merupakan penjelasan yang diperincikan mengapa TFC tidak wajar menerima tajaan tersebut:

Semalam saya terkejut membaca berita penajaan pasukan bola sepak Terengganu.

Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFC) mendatangani MOU penajaaan musim 2024/2025 dengan syarikat XFOX Market Holdings Sdn Bhd.

XFOX sebagai penaja utama bersetuju untuk menaja RM 1.5 juta kepada TFC.

Lantaran itu, logo XFOX akan dipamerkan pada jersi TFC.

XFOX adalah satu nama yang perlu berhati-hati.

XFOX ialah skim pelaburan yang didakwa patuh syariah.

Dana dilaburkan dalam pelbagai bentuk perniagaan seperti XFOX Mart, XFOX Coffee, XFOX Jewel, XFOX Frozen, XFOX Construction, XFOX Wellness, XFOX Seminar & Convention dan Sue & Thuya Shell-Laut dan sebagainya.

XFOX menawarkan hibah bulanan 5% hingga 30%. Kalah ASB dan Tabung Haji.

XFOX juga menawarkan hibah harian. Jika anda masuk hari ini, esok sudah mendapat hibah harian. Ajaib sekali.

Sistem pulangan pelaburan XFOX mengalahkan bank pelaburan besar.

XFOX mendakwa menggunakan konsep Mudharabah. Mereka memaparkan video kuliah Prof Dr. Ustaz Abdus Somad tentang Mudharabah.

Memang konsep Mudharabah wujud dalam syariah tetapi adakah XFOX melaksanakan mudharabah dengan betul? Siapa yang memastikannya?

Siapakah Penasihat Syariah XFOX?

Malangnya perkara ini tidak dinyatakan di website mereka.

Pengasas XFOX mendakwa gerai nasi lemak tiada tanda halal. Saya berasa hairan dengan kenyataan pengasas XFOX yang cuba mengelirukan orang ramai.

XFOX adalah perniagaan besar dan melibatkan pelbagai bentuk perniagaan. Sudah tentu memerlukan panel syariah untuk memastikan perjalanan syarikat mematuhi syariah.

Jika tiada penasihat syariah nescaya mana-mana syarikat boleh mendakwa mereka patuh syariah.

XFOX menyatakan Capital Guaranteed iaitu jaminan modal.

Sebenarnya perkara ini tidak dibenarkan dalam Mudharabah. Ini adalah perkara asas.

XFOX tidak menetapkan kadar hibah bulanan tetapi menjamin keuntungan setiap bulan. Perkara ini juga tidak dibenarkan dalam Mudharabah.

Istilah hibah adalah istilah yang biasa digunapakai oleh syarikat scam untuk mengaburi mata masyarakat seolah-olah pelaburan yang dilakukan adalah patuh syariah.

Daripada aspek komersial, XFOX memberi hibah bulanan 5% hingga 30%.

Angka ini adalah luar biasa. PNB pun tidak dapat memberi keuntungan sebesar itu.

XFOX diterajui oleh dua adik beradik iaitu Datuk Suraya binti Semaru dan Datuk Suhaila binti Semaru.

Saya semak tiada info tentang anugerah Datuk berkenaan di laman rasmi Istiadat.

XFOX membuka dana pelaburan dan menerima dana daripada orang ramai.

Perkara ini dinamakan pengambilan deposit secara haram (illegal deposit taking) kerana XFOX tidak mempunyai lesen di bawah BNM atau SC.

Pengambilan deposit secara haram adalah satu kesalahan dari segi undang-undang di Malaysia.

Pada 14 Jun 2023, BNM telah senaraikan XFOX di dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan.

Kebiasaannya apabila sebuah syarikat disenaraikan dalam senarai ini. Ia menunjukkan syarikat itu mempunyai masalah dari segi undang-undang.

Lambat laun akan berlaku gejala tersontot. Masa akan menentukan.

Saya mendapati banyak sangat red flag pada XFOX.

Dengan itu, status patuh syariah yang diwarwarkan oleh XFOX adalah too good to be true.

TFC ialah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu. Malangnya pihak TFC tidak melakukan due diligence dengan sebaiknya.

Perkara due diligence tidak memerlukan ilmu roket sains.

Kesan kepada penajaan ini ialah XFOX akan menjaja cerita Kerajaan Negeri Terengganu sahkan syarikat mereka adalah sahih.

Dengan kata lain, Kerajaan Negeri Terengganu bersekongkol dengan XFOX.

Jika berlaku XFOX mengalami gejala tersontot maka Kerajaan Negeri Terengganu akan terpalit bersama.

Saya sarankan kepada TFC agar membatalkan dengan segera MOU dengan XFOX. Banyak lagi syarikat lain yang boleh menjadi penaja TFC.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Salam hormat.

Dr. Abdul Rahman A Shukor
10 Jun 2024


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *