Kampus UKM Di Doha Letak Pengajian Tinggi Negara Di Pentas Dunia – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan kampus luar pesisir UKM Qatar. UKM bakal menawarkan lima program pengajian di Doha, akhir tahun ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

DOHA, 14 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembukaan bersejarah Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha, Qatar hari ini meletakkan status pengajian tinggi negara di pentas dunia.

Beliau berkata, UKM mengorak langkah yang unik dengan pembukaan kampus berkenaan, apatah lagi universiti itu bermula sebagai sebuah institusi pengajian awam Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

“Sebagai seorang yang menandatangani memorandum mendesak penubuhan sebuah universiti awam yang berteraskan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, saya berasa bangga untuk bersama-sama warga UKM di hari yang gemilang ini,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan kampus luar pesisir UKM Qatar. UKM bakal menawarkan lima program pengajian di Doha, akhir tahun ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar berharap, langkah dirintis UKM itu akan membuka laluan lebih luas dan besar kepada universiti awam Malaysia yang lain untuk mengorak langkah serupa selepas ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekwan Toriman di atas kejayaan itu.

“Saya ingin memanjatkan rasa syukur kerana telah diberi kesempatan dan ruang ketimbang keberadaan saya di Doha untuk bersama-sama kepimpinan dan warga UKM untuk menyaksikan saat-saat yang unik dan bersejarah ini,” kata beliau.

Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Qatar bermula Isnin atas jemputan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Poland, Andrzej Duda di sela-sela Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri memaklumkan beliau turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Poland, Andrzej Duda di sela-sela Forum Ekonomi Qatar 2024.

Anwar berkata dalam pertemuan itu, Duda menyatakan hasratnya berkunjung ke Malaysia serta menjemput beliau ke Poland, selain masing-masing sependapat untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pengajian tinggi.

“Pertemuan ini juga cukup signifikan, kedua-dua negara akan mengambil alih tugas pengerusi ASEAN dan Majlis Kesatuan Eropah tahun depan dan kami sepakat untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua organisasi,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, Duda turut mengundang beliau sebagai tetamu bagi menghadiri ‘Three Seas Summit’ di Poland tahun depan dengan ia akan memberi fokus kepada kerjasama ekonomi dalam bidang tenaga, pengangkutan dan infrastruktur komunikasi.

“Ruangan ini juga kami gunakan untuk bertukar pandangan terkait isu antarabangsa termasuk situasi di Ukraine dan Palestin,” kata beliau. – BERNAMA


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *