Jerebu: Titik Panas Kembali Meningkat Di Kalimantan, Sumatera

Suasana jerebu sudah menjadi fenomena biasa di Palembang, Indonesia ketika dirakam pada 28 Ogos 2026.
JAKARTA, 3 Sep – Titik panas kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat serta Kalimantan Tengah, Indonesia, kembali meningkat selepas sebelum ini menunjukkan penurunan.
Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni, berkata kedua-dua wilayah itu menjadi keutamaan pihaknya dalam usaha menangani kebakaran.
“Selepas semalam, kesemua enam wilayah yang menjadi keutamaan menunjukkan trend penurunan.

“Hari ini (semalam) Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah kembali menunjukkan peningkatan titik panas.
“Ini bermakna keutamaan utama kita di peringkat nasional kini kekal di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah,” katanya memetik laporan portal ANTARA semalam.
Selepas meninjau kebakaran hutan dan tanah di Jambi semalam, Raja Juli berkata, beliau bersama Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Leftenan Jeneral Tentera Nasional Indonesia (TNI) Suharyanto, akan ke Pontianak hari ini bagi memperkukuh semula penyelarasan dengan semua pihak berkepentingan di Kalimantan Barat.

Pihaknya juga akan melakukan koordinasi dengan Gabenor, Ketua Polis Wilayah dan Panglima Tentera Wilayah.
“Oleh itu, esok (hari ini) kami ke Pontianak untuk bertemu semula dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Gabenor, Ketua Polis Wilayah dan Panglima Tentera Wilayah, memperkukuh kerjasama, melakukan penilaian serta merangka langkah yang boleh diambil untuk mitigasi,” katanya.
Penyelarasan itu dilakukan bagi mengurangkan jumlah titik panas serta titik api.

Justeru, Raja Juli mengingatkan bahawa usaha menangani kebakaran hutan dan tanah masih memerlukan kewaspadaan bersama.
Beliau berkata, kemuncak fenomena El Nino dijangka berlaku pada bulan ini, lantas menuntut kerjasama pelbagai pihak bagi mencegah dan menangani kebakaran hutan serta tanah.
Berdasarkan data Kementerian Perhutanan Indonesia setakat 1 September kelmarin, jumlah titik panas di Kalimantan Barat meningkat daripada 273 kepada 859 titik, manakala Kalimantan Tengah meningkat daripada 253 kepada 623 titik.
Sumatera Selatan pula meningkat daripada 20 kepada 89 titik panas, Kalimantan Selatan daripada 22 kepada 73 titik panas, manakala Riau kekal dengan sifar titik panas.
Jambi pula merekodkan peningkatan daripada sifar kepada empat titik panas.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

