Jerebu: Kebakaran Hutan Di Indonesia Tidak Boleh Dibiarkan Lagi

IMG_8127

Warna kemerahan diselubungi asap tebal membakar kawasan Ogan Ilir, Sumatera Selatan yang menjadi antara lokasi titik panas pada 29 September 2026. Foto AFP

JAKARTA, 14 Okt – Fenomena jerebu yang melanda akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia kini menjejaskan ekonomi, pendidikan dan kesihatan negara jiran, dan tidak lagi boleh dianggap isu bermusim atau ‘acara tahunan’ besar-besaran sama ada pembukaan tanah atau pun penanaman semula.

Beratus-ratus buah sekolah terpaksa ditutup di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia seperti di Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya serta beberapa daerah di Selangor dan Pahang.

Kedegilan pemerintah Indonesia yang enggan menerima bantuan dari negara jiran tambah memburukkan keadaan yang telah sedia parah sama ada di Palembang, Riau, Palangkaraya atau Pontianak sehingga ke hari ini.

Luruan monsun dan tiupan angin rentas sempadan terus menjejaskan kualiti udara di Asia Tenggara sejak Julai 2026.

Pada September, darurat diisytiharkan di Serian, Sarawak, dan hampir 650 sekolah ditutup. Penutupan berulang mengganggu pembelajaran murid, terutama mereka yang bakal menduduki peperiksaan, dan memaksa ibu bapa mengatur semula kerja.

Asap yang menyelubungi rantau ini meningkatkan risiko kesihatan terutama penyakit berkaitan pernafasan. Apakah Indonesia sendiri tidak peduli apabila lebih lima juta penduduk Borneo dan Sumatera terdedah kepada risiko kesihatan, dan lebih 1.4 juta pelajar belajar dari rumah?

Tiupan angin membawa jerebu dari negara jiran memaksa pantai Barat Semenanjung Malaysia termasuk Johor mengalami kesan terhadap kesihatan.

Dari segi ekonomi, jarak penglihatan terhad dan kualiti udara buruk mengganggu pengangkutan, pelancongan dan produktiviti pekerja.

Sudah acap kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Indonesia menangani punca utama kebakaran, manakala Malaysia menawarkan aset dan anggota untuk membantu memadam kebakaran di Kalimantan, dan setakat ini belum menerima maklum balas.

Keadaan jerebu paling teruk berlaku di Serian apabila rakaman video jalan utama ke Kuching dicatat dengan bacaan IPU berbahaya pada 30 Ogos 2026. Foto Serian Timungen

Di mana komitmen sebenar Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni yang kononnya menyatakan kementeriannya akan meningkatkan polis hutan secara berperingkat daripada kira-kira 4,500 kepada 70,000 anggota dalam tempoh tiga hingga empat tahun?

Ratusan titik panas yang bertebaran di serata negara itu bukan hanya setakat dilaporkan di dada media tetapi tindakan segera mesti dilakukan segera tanpa syarat kerana fenomena El Nino dijangka berlarutan sehingga awal tahun depan.

Kebakaran hutan di Kalimantan seakan sukar dikawal hingga menyebabkan langit bertukar merah dan penduduk sukar bernafas.

Sementara itu, rakyat di rantau ASEAN memerlukan aspek penguatkuasaan lebih tegas terhadap pembakaran terbuka, pemulihan tanah gambut, perkongsian data kawasan panas secara telus, dan kerjasama ASEAN yang lebih berkesan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *