Jerebu: IPU Serian Tahap Berbahaya, IPU Kini 364

Keadaan jerebu paling teruk berlaku di Serian apabila rakaman video jalan utama ke Kuching dicatat dengan bacaan IPU berbahaya pada 30 Ogos 2026. Foto Serian Timungen
KUCHING, 30 Ogos – Keadaan jerebu di Sarawak semakin memburuk pagi ini apabila kualiti udara di Serian melonjak ke paras Berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 364.
Dua lagi kawasan iaitu Samarahan dan Kuching juga bertambah buruk dengan bacaan IPU melonjak ke tahap Sangat Tidak Sihat menghampiri paras Berbahaya manakala Sri Aman kekal sangat tidak sihat.
Berdasarkan kemas kini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) pada 8.30 pagi hari ini, Serian mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 364 diikuti Samarahan 300, Kuching 291 dan Sri Aman 214.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 201 hingga 300 dikategorikan Sangat Tidak Sihat, manakala melebihi 300 adalah Berbahaya.
Situasi itu menunjukkan kualiti udara di beberapa kawasan utama Sarawak terus merosot, dengan orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar dan sentiasa memantau bacaan IPU semasa.
Sementara itu lapan lagi kawasan lain di Sarawak berada pada tahap Tidak Sihat dengan bacaan IPU antara 135 hingga 195.
Hanya Limbang masih berada pada tahap Sederhana dengan bacaan IPU 88 setakat jam 8.30 pagi ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
