Jerebu: IPU Serian Kini 475, Tiga Lagi Kawasan Terus Meningkat

Keadaan jerebu buruk di Serian ketika rakaman dibuat jam 8.52 pagi 31 Ogos 2026. Foto Mofma

KUCHING, 31 Ogos – Keadaan jerebu di Sarawak bertambah buruk pagi ini apabila empat kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300, dengan Serian menghampiri paras kritikal 500.

Berdasarkan bacaan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 10 pagi, Serian merekodkan IPU tertinggi 475, diikuti Samarahan (333), Sri Aman (331) dan Kuching (331), kesemuanya pada kategori berbahaya.

Situasi itu menunjukkan kemerosotan ketara berbanding bacaan jam 8 malam semalam apabila hanya Kuching (319), Samarahan (335) dan Serian (439) berada pada tahap berbahaya, manakala Sri Aman masih pada kategori sangat tidak sihat dengan IPU 278.

Keadaan jerebu paling teruk berlaku di Serian apabila rakaman video jalan utama ke Kuching dicatat dengan bacaan IPU berbahaya pada 30 Ogos 2026. Foto Serian Timungen

Dengan bacaan 475, Serian kini hanya 25 mata IPU daripada paras 500, sekali gus menjadikan kawasan itu antara lokasi paling teruk terjejas akibat jerebu di Sarawak.

Sementara itu, Sarikei (263), Sibu (218) dan Mukah (213) pula berada pada tahap sangat tidak sihat, manakala enam kawasan lain iaitu Samalaju, Miri, ILP Miri, Bintulu, Kapit dan Limbang merekodkan bacaan antara 159 hingga 181, masing-masing dalam kategori tidak sihat.

Perkembangan itu bermakna sekurang-kurangnya 13 kawasan yang dilaporkan pagi ini berada pada tahap tidak sihat atau lebih buruk, dengan empat daripadanya sudah mencapai kategori berbahaya.

Bacaan IPU di empat kawasan di Sarawak dengan Serian tertinggi pada 475 menurut semakan jam 10.30 pagi 31 Ogos 2026. Foto APIMS

Bacaan IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya, manakala bacaan antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Keadaan kualiti udara yang semakin buruk ini turut meningkatkan kebimbangan terhadap kesihatan awam, khususnya golongan berisiko tinggi, selain berpotensi menjejaskan aktiviti harian sekiranya bacaan terus meningkat.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *