Jerebu: Empat Kawasan Di Sarawak Catat IPU Sangat Tidak Sihat

Keadaan jerebu buruk di Serian ketika rakaman dibuat jam 8.52 pagi 31 Ogos 2026. Foto Mofma

KUALA LUMPUR, 2 Sep – Empat kawasan di Sarawak merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) pada tahap bahaya dengan bacaan IPU melebihi 200 setakat jam 8 pagi tadi.

Semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, Serian mencatatkan IPU tertinggi dengan bacaan 343, diikuti Sri Aman (298), Kuching (276), Samarahan (257) dan Sarikei (227).

Sebanyak 15 lokasi merekodkan bacaan IPU tidak sihat di Sarawak, Sabah, Labuan dan Selangor.

Bacaan IPU direkod jam 8.30 pagi 3 September 2026. Foto APIMS

Sarawak mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di lapan lokasi iaitu Sibu (191), Bintulu (176), Kapit (176), Mukah (172), Samalaju (167), Limbang (155), ILP Miri (153) dan Miri (134).

Di Sabah, bacaan IPU tidak sihat direkodkan bagi kawasan Politeknik Kota Kinabalu (166), diikuti Kimanis (165), Keningau (165) dan Kota Kinabalu (164).

Labuan juga mencatatkan bacaan IPU tidak sihat 162, manakala Johan Setia merekodkan bacaan 112.

Bacaan indeks pencemaran udara tertinggi direkodkan di Serian (408), diikuti Kuching (407), Samarahan (372), Sri Aman (361), Sarikei (333) dan Sibu (309) jam 8 pagi 1 September 2026. Foto APIMS

Sementara itu, 45 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana dan tiga kawasan mencatatkan bacaan baik.

Sebelum ini, media melaporkan operasi pembenihan awan sedang dilaksanakan di kawasan dilanda jerebu terutama yang merekodkan bacaan IPU melebihi 150, selain kawasan empangan yang menunjukkan penyusutan paras air.

Operasi itu dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *