Jemaah Menteri Ucap Tahniah Kepada PM Baharu Singapura – Fahmi

Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong yang bakal mengangkat sumpah hari ini dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memperkukuh hubungan kedua-dua negara. Foto X Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 15 Mei – Jemaah Menteri Malaysia menzahirkan ucapan tahniah kepada Lawrence Wong di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri baharu Singapura.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata ucapan itu disampaikan Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.

“Mesyuarat Kabinet hari ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan dalam perutusannya mewakili Jemaah Menteri, mengucapkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri baharu Singapura.

Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong yang bakal mengangkat sumpah hari ini dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memperkukuh hubungan kedua-dua negara. Foto X Anwar Ibrahim

“Sudah pasti perkara ini akan disusuli dengan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakan sejawatnya itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Wong, 51, yang juga Menteri Kewangan dijadual mengangkat sumpah Perdana Menteri pada jam 8 malam ini di Istana Singapura, bagi menggantikan Lee Hsien Loong, 74, yang menerajui republik itu hampir dua dekad.

Ahli ekonomi yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat (AS) itu dilihat secara meluas sebagai ahli media sosial yang bijak menangani krisis COVID-19 dengan berkesan apabila menyelia pasukan petugas pandemik kerajaan.

Kunjungan bakal Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 2022 menjalin kerjasama erat antara kedua-dua negara penting di ASEAN. Foto X Anwar Ibrahim

Beliau dipilih Hsien Loong pada 2022 daripada generasi baharu dalam kalangan penggubal undang-undang daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah tanpa gangguan sejak kemerdekaan pada 1965.

Pada 13 Mei lalu, Hsien Loong secara rasmi memaklumkan kepada Presiden, Tharman Shanmugaratnam mengenai hasratnya untuk meletak jawatan dan menasihatkan presiden untuk menjemput Wong, yang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Parlimen membentuk kerajaan seterusnya.

Wong yang juga Ahli Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen PAP dan memaklumkan mengenai barisan Kabinet baharu beliau, yang juga akan mengangkat sumpah hari ini.

Selaku Perdana Menteri keempat dalam sejarah Singapura, beliau akan turut menggalas tanggungjawab mengetuai PAP pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *