Jangan Buat Provokasi Semasa Konsert Coldplay Esok

Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin, berkata 75,000 penonton dijangka hadir ke konsert itu, di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan sebarang provokasi semasa atau selepas konsert kumpulan rock “Coldplay: Music Of The Spheres World Tour” yang dijadual berlangsung esok, di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan pada konsert berkenaan.
Beliau berkata, 75,000 penonton dijangka hadir ke konsert itu dan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin, pemeriksaan badan, beg, dan barangan akan dilakukan di pintu masuk yang dibuka 6 petang oleh polis bagi memastikan tiada barangan terlarang dibawa masuk.
“Pengunjung dilarang membawa masuk mercun, topi keledar, laser, objek tajam, senjata, minuman keras, payung atau tongkat, powerbank dan botol air.
“Pengunjung turut dilarang membawa masuk pemetik api, rokok, dan rokok elektronik, pembesar suara dan menerbangkan dron,” katanya dalam kenyataan.

Zam Halim berkata, pihak polis tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang telah dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang hadir ke konsert berkenaan untuk menggunakan pengangkutan awam dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium.
“Orang ramai juga dinasihati mematuhi arahan anggota polis yang bertugas, mengamalkan sikap tolak ansur dan bersabar ketika memandu di sekitar stadium berkenaan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web