Jalankan Siasatan Teliti Punca Kemalangan Maut Babit Tiga Sekeluarga – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa, dan mendoakan roh kesemua mangsa dicucuri rahmat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berwajib menjalankan siasatan dengan teliti bagi mengenal pasti punca kemalangan maut di Temerloh, yang turut meragut nyawa sebuah keluarga selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan.

Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Perdana Menteri menzahirkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa, dan mendoakan roh kesemua mangsa dicucuri rahmat dan keluarga yang ditinggalkan dikurniakan kekuatan serta ketabahan.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan mengurniakan kekuatan serta ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan semua pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga setiap kali berada di jalan raya.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam semalam, empat termasuk tiga sekeluarga terbunuh serta tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 (arah Timur) di Lanchang, Temerloh, berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh.

Mangsa dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri Muhammad Nazatul Nazmi dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan masing-masing berusia 32 tahun serta anak lelaki mereka berusia empat tahun yang menaiki kereta Proton S70.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang Honda CRV Seow Beng Wain, 55, dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

Kemalangan itu membabitkan empat kereta, tiga kenderaan utiliti sukan (SUV), satu masing-masing kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pikap, sebuah lori tangki dan bas.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *