Isu 200,000 Pekerja Bangladesh: Dakwaan Tidak Wakili Pendirian Rasmi – Fahmi
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya pada 2 September 2026. Foto Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA, 2 Sep – Dakwaan kononnya Malaysia merancang mengambil 200,000 pekerja dari negara berkenaan, tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan negara itu, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Kenyataan seorang menteri Bangladesh itu dibuat beberapa hari lalu yang mendakwa Malaysia ingin berbuat demikian namun pantas dinafikan kerajaan semasa Fahmi mengadakan sidang media mingguan pasca mesyuarat kabinet hari ini.
Sehubungan itu, beliau sudah berhubung dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan mengenai perkara itu dan dimaklumkan bahawa kenyataan berkenaan dibuat oleh seorang menteri muda serta tidak seharusnya dianggap sebagai pengumuman rasmi kerajaan Bangladesh.

“Saya ada berhubung dengan Menteri Sumber Manusia mengenai perkara terbabit dan beliau memaklumkan bahawa itu bukan kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan Bangladesh.
“Ia (kenyataan) dikeluarkan oleh seorang, saya difahamkan seorang junior minister (menteri muda), jadi bukan mewakili keputusan rasmi pihak kerajaan Bangladesh,” katanya.
Isu berkenaan timbul setelah Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Mir Shahe Alam mendakwa Malaysia merancang mengambil kira-kira 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh enam bulan akan datang.

Menurut laporan berkenaan, pekerja dari negara itu akan diambil melalui syarikat yang diluluskan pihak berkuasa Malaysia, manakala proses pengambilan akan bermula secara berperingkat pada akhir September dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.
Pada Jun lalu, Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertimbangkan untuk membuka semula pasaran buruh Malaysia kepada pekerja Bangladesh.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
