Israel Musnahkan Hospital Al-Shifa Hanya Dalam Tempoh 14 Hari

Tentera Israel turut dilapor memusnahkan perkuburan sementara warga Palestin di Hospital Al-Shifa. Foto Reuters

GAZA, 1 Apr – Tentera Israel menamatkan pendudukannya selama 14 hari di Hospital Al-Shifa, dengan kemudahan perubatan terbesar di Semenanjung Gaza itu kini musnah sepenuhnya dan ramai terkorban, lapor Agensi Anadolu (AA).

Saksi berkata, tentera Israel berundur sepenuhnya dari hospital itu serta penempatan sekitar, dan bergerak ke arah selatan kejiranan Tel al-Hawa di barat daya Gaza.

Sebelum berundur, menurut saksi, tentera Israel telah membakar semua bangunan Hospital Al-Shifa menyebabkannya tidak boleh langsung beroperasi lagi.

Bilik pembedahan serta wad hospital terbabit runtuh sepenuhnya, manakala bahagian lain termasuk tempat menyambut pelawat dan unit kecemasan dibakar sehingga memusnahkan semua peralatan perubatan di dalamnya, kata saksi.

Tentera Israel turut dilapor memusnahkan perkuburan sementara warga Palestin di Hospital Al-Shifa. Foto Reuters

Menurut saksi lagi, tentera Israel turut membakar unit rawatan buah pinggang, kanser, mangsa kebakaran, wad bersalin dan rumah mayat, selain meruntuhkan bangunan klinik pesakit luar.

Mereka berkata, ramai terkorban di Hospital Shifa dan jalan raya sekitarnya seperti Omar al-Mukhtar, Izz ad-Din al-Qassam, Abu Hasira, Bekir dan Habbush.

Malah, tentera Israel dilapor memusnahkan perkuburan sementara warga Palestin di Hospital Al-Shifa dengan mengeluarkan jenazah serta meletakkannya di kawasan lain dalam hospital itu.

Sejak mengepung hospital itu pada 18 Mac lalu, tentera Israel telah membunuh lebih 400 warga Palestin dan memusnahkan lebih 1,050 kediaman dalam serangan 14 hari ke atas Hospital Al-Shifa, lapor pejabat media kerajaan pada Sabtu lalu.

Antara bentuk kemusnahan di Hospital Al-Shifa akibat pendudukan tentera Israel dalam tempoh 14 hari. Foto Reuters

Israel melakukan serangan ketenteraan ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu menyebabkan hampir 32,800 warga Palestin terkorban dan 75,300 lagi cedera, setakat ini.

Serangan berterusan oleh rejim Zionis mengakibatkan kemusnahan pada skala besar dan kekurangan bekalan keperluan, malah Israel telah mengenakan sekatan sehingga menyebabkan penduduk di Semenanjung Gaza kelaparan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, selain bergelut dengan masalah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang serius, manakala 60 peratus infrastruktur di semenanjung itu kini rosak atau musnah.

Israel berdepan dakwaan melakukan genosid, bahkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis lalu memerintahkan Israel bertindak untuk mengekang kebuluran di Gaza.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *