Indonesia Tangguh Suntikan AstraZeneca

JAKARTA, 18 Mei – Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan penangguhan suntikan 448,480 dos vaksin AstraZeneca susulan laporan dua penduduk yang meninggal dunia selepas menerima suntikan tersebut. 

Lapor CNN Indonesia, Jurucakap Vaksin bagi pihak kementerian, Siti Nadia Tarmizi berkata, penangguhan itu dilakukan selepas kes kematian Trio Fauqi Virdaus. 

Katanya, lelaki berusia 22 tahun itu disahkan mati selepas sehari menerima suntikan pertama vaksin AstraZeneca di Istora Senayan, 5 Mei lalu, serta satu kes dari penduduk Jakarta yang tidak dijelaskan secara terperinci. 

“Sebelum ini, data menunjukkan tiada sebarang insiden kematian selepas menerima suntikan vaksin Covid-19. 

“Dalam beberapa kes, kita dapati ada individu yang maut disebabkan faktor lain selepas menerima suntikan vaksin,” katanya. 

Menurut Siti Nadia, pihaknya sudah meminta Badan Pengawal Ubat dan Makanan (BPOM) menjalankan ujian toksik kerana tiada data mencukupi untuk menjelaskan penyebab kematian itu. 

Katanya, pihak kementerian masih menunggu ujian mendalam oleh BPOM yang akan mengambil masa selama satu ke dua minggu. 

Bagaimanapun, penangguhan sementara itu hanya melibatkan kelompok CTMAV547 bagi pengambilan vaksin AstraZeneca. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *