Indikator ‘B-Ready’ Bank Dunia Perlu Diberi Penekanan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Facebook

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Indikator ‘Business Ready’ (B-Ready) oleh Bank Dunia adalah satu penilaian yang harus diberikan penekanan oleh Malaysia dengan memperkenal beberapa pendekatan dan kaedah baharu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pendekatan dan kaedah itu termasuk sinergi antara industri serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan lebih dekat.

Perdana Menteri berkata, kepercayaan perlu diberikan kepada pemain industri untuk menetapkan jenis latihan kerana mereka lebih tahu apa yang diperlukan daripada sistem pendidikan yang konvensional.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Facebook

“Ini antara usaha yang cuba kita ketengahkan untuk mempercepat kelulusan serta proses dan pada masa sama, untuk memberikan komitmen supaya kita boleh ubah suai di mana yang perlu.

“Negara tidak akan maju sekiranya terikat dengan ruang selesa dan mudah merasa baik dengan setiap kejayaan,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di sini malam ini.

B-Ready adalah laporan utama baharu Bank Dunia yang menjadi penanda aras bagi persekitaran perniagaan dan iklim pelaburan di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Laporan itu menilai rangka kerja kawal selia dan perkhidmatan awam yang ditujukan kepada firma-firma serta kecekapan gabungan rangka kerja kawal selia dan perkhidmatan awam yang menjadi amalan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, bidang TVET ketika ini tidak lagi formal seperti dahulu dan jika ada mana-mana industri berhasrat untuk mengambil alih satu atau dua program, mereka dialu-alukan berbuat demikian.

“Petronas dan Proton-Geely sebagai contoh. Ini menjadikan sinergi antara industri dan program TVET lebih erat,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Facebook

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

AKI 2024 anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri adalah bagi mengiktiraf syarikat Malaysia yang menunjukkan kecemerlangan dari segi amalan pengurusan, kualiti produk, perkhidmatan serta memberikan nilai tambah berterusan kepada pemegang taruh.

Sebanyak 13 kategori dipertanding dengan tiga anugerah utama iaitu Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan (tiga kategori), Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan (empat kategori) dan Anugerah Kecemerlangan Kategori Terbuka (satu kategori).

Selain itu, satu pemenang daripada lapan kategori ini dipilih untuk menerima Anugerah Perdana Menteri iaitu anugerah paling berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan industri oleh kerajaan. – Bernama


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *