Ibu Bapa Perlu Pantau Tingkah Laku Anak Elak Terjerumus Gejala Tidak Sihat – PM Anwar

IMG_9478

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarabbin, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2026. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Golongan ibu bapa diseru supaya lebih peka dan bertanggungjawab memantau tingkah laku anak-anak mereka agar tidak terjerumus ke dalam gejala tidak sihat, pesan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, beliau khuatir mengenai masa depan generasi muda seperti kanak-kanak sekolah jika ibu bapa terus menyerahkan nasib anak mereka kepada keadaan dan persekitaran tempat tinggal, tanpa mengawal atau mendidik mereka dengan sebaiknya.

Seruan berkenaan diluahkan beliau susulan beberapa isu yang dibincangkan pada Mesyuarat Kabinet pagi tadi, antaranya menyentuh mengenai penyakit mental dan masalah ketagihan dadah yang perlu ditangani hingga ke peringkat akar umbi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarabbin, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2026. Foto Bernama

“Ibu bapa ambil tanggungjawab. Tengok anak-anak ini semua bersih, tunjuk kasih sayang yang baik, sangat menyentuh perasaan saya.

“Bagaimanapun, saya bimbang mengenai kedudukan dan masa depan mereka jika ibu bapa itu hanya menyerah begitu saja bulat-bulat kepada keadaan dan suasana, tanpa mengawal dan mendidik mereka,” katanya.

Kembimbangan Perdana Menteri itu disampaikan kepada pengamal media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.

Ibu bapa juga jelas Anwar, memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka berdisiplin dalam menjalani rutin persekolahan.

“Kerjasama daripada ibu bapa dan keluarga sangat penting untuk (memastikan) disiplin anak-anak.

“(Jangan) sampai ada yang tidak tahu anak dia baca buku atau tidak, balik malam atau tidak, lakukan kerja sekolah atau tidak, mulai menghampiri dadah atau tidak,” katanya.

Anwar juga sempat beramah mesra dengan kanak-kanak yang menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan sambil berpesan agar sentiasa taat kepada ibu bapa dan membaca buku dengan disiplin masa walaupun di luar waktu persekolahan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *