Hujan Lebat Sebabkan Banjir Kilat Jejaskan Banyak Kawasan

Hujan Lebat Sebabkan Banjir Kilat Jejaskan Banyak Kawasan

Tangkap layar dari rakaman video yang tular menunjukkan orang awam membantu wanita dan anaknya menolak kereta semasa melalui kawasan banjir pada 28 September 2026.

KOTA KINABALU, 28 Sep – Beberapa laluan jalan raya sekitar daerah ini terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi.

Tinjauan di beberapa kawasan serta beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan banjir di laluan dari Sepanggar menuju ke Sabah Ports serta kawasan di hadapan Indah Permai.

Laluan yang ditenggelami air mengakibatkan pergerakan kenderaan agak perlahan, manakala pengguna jalan raya dilihat lebih berhati-hati melalui kawasan terbabit.

Anggota APM menjalankan pemantauan di beberapa kawasan hotspot banjir susulan hujan berterusan sejak tengah hari 28 September 2026.

Situasi sama turut berlaku di Telipok apabila laluan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telipok berhampiran University Utama Condominium (UUC) turut dilanda banjir kilat.

Rakaman video di lokasi terbabit menunjukkan beberapa kenderaan meredah banjir yang membabitkan sebahagian laluan ketika hujan masih berterusan.

Sementara itu, di Jalan Politeknik, Sepanggar, sebuah kereta dipercayai terkandas ketika melalui laluan yang dinaiki air.

Satu rakaman video yang tular menunjukkan seorang ibu bersama anaknya cuba menolak kereta berkenaan sebelum beberapa orang awam yang berada berhampiran tampil membantu.

Keadaan itu antara gambaran yang dihadapi pengguna jalan raya apabila hujan berterusan menyebabkan beberapa lokasi sekitar Sepanggar dan Telipok dilanda banjir kilat.

Pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati dan tidak mengambil risiko meredah laluan sekiranya paras air tinggi atau keadaan jalan tidak dapat dipastikan.

Oleh Siti Aisyah Narudin

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web