Hubungan Ketenteraan Russia-Korea Utara Resahkan Korea Selatan

Suk-yeol dijadual berlepas ke Washington minggu depan bagi menghadiri sidang NATO dan ulang tahun ke-75 pertubuhan itu. Foto Yonhap

SEOUL, 7 Jul – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, dijangka menyuarakan kebimbangan berhubung pengukuhan kerjasama pertahanan antara Korea Utara dengan Russia, ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), minggu depan, menurut pegawai beliau, hari ini.

Yonhap melaporkan Suk Yeol akan berlepas ke Washington, Amerika Syarikat (AS) dari Rabu hingga Khamis minggu depan untuk menyertai sidang kemuncak itu.

Beliau antara lain dijadual mengadakan perbincangan dengan lebih lima negara anggota NATO meliputi Republik Czech, Sweden, Finland dan Norway serta Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg.

Rundingan itu dijangka membincangkan isu dua hala serta situasi keselamatan serantau dan global dengan tumpuan aspek kerjasama tenaga serta keselamatan.

Selain itu, beliau akan mengambil bahagian pada sidang kemuncak membabitkan rakan kongsi Indo-Pasifik NATO, termasuk Jepun, Australia dan New Zealand, sebelum menghadiri sidang kemuncak utama NATO.

Sesi mesyuarat negara Indo-Pasifik itu mungkin akan menyampaikan mesej kritikal terhadap kerjasama ketenteraan antara Korea Utara dengan Russia.

Suk Yeol juga dijadual menyampaikan ucapan pada Forum Awam NATO yang dianjurkan bersama oleh NATO serta lima badan pemikir di AS dan Eropah.

Jumaat lalu, Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan, Kim Tae Hyo, berkata Seoul berhasrat menghantar ‘mesej kuat’ berhubung kerjasama ketenteraan antara Russia dengan Korea Utara, melalui Sidang Kemuncak NATO.

Sidang kemuncak NATO dijadual berlangsung di ibu negara Amerika Syarikat dari Selasa hingga Khamis, minggu depan. Foto Official State Department by Chuck Kennedy

“Sambil menghantar mesej jelas terhadap kerjasama ketenteraan antara Russia dengan Korea Utara, kami akan membincangkan cara untuk bekerjasama dengan NATO bagi memberi respons terhadap perkara ini,” katanya pada satu taklimat.

Bulan lalu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dan Presiden Russia, Vladimir Putin, menandatangani perjanjian ‘perkongsian strategik komprehensif’ baharu yang menjanjikan bantuan ketenteraan bersama jika ada antara mereka diserang.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *