Hentikan Politik Biadab Dan Hipokrasi – Sanusi Wajib Mohon Maaf Kepada Perdana Menteri

Sanusi diingatkan perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada seorang pemimpin untuk menghina, mencerca atau merendahkan Perdana Menteri Malaysia.

KENYATAAN MEDIA, 27 Ogos – Parti Keadilan Rakyat Cabang Sungai Petani mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menggunakan perkataan “celaka” dan “p * laq” ketika merujuk kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu kelulusan lesen perjudian di Kedah.

Bahasa sedemikian amat tidak wajar keluar daripada mulut seorang Menteri Besar. Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada seorang pemimpin untuk menghina, mencerca atau merendahkan Perdana Menteri Malaysia.

Ini bukan soal PAS lawan KEADILAN. Ini soal adab, akhlak dan martabat seorang pemimpin.

Kes Lesen Judi: Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Kerajaan Kedah

Lebih mengecewakan apabila isu perjudian cuba dijadikan modal politik untuk menyerang Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri seolah-olah rakyat Malaysia mempunyai ingatan yang pendek.

Kita ingin mengingatkan Dato’ Seri Muhammad Sanusi bahawa ketika Perikatan Nasional memerintah Kerajaan Persekutuan dan PAS merupakan sebahagian daripada kerajaan, kekerapan cabutan khas nombor ramalan telah dinaikkan daripada 8 kali kepada 22 kali setahun.

Di manakah suara lantang PAS ketika itu?

Mengapa ketika berada dalam kerajaan, peningkatan daripada 8 kepada 22 cabutan boleh berlaku, tetapi hari ini isu perjudian digunakan untuk menyerang Perdana Menteri dengan bahasa yang begitu kasar?

Begitu juga kontroversi wiski tempatan jenama Timah. Ketika PAS berada dalam Kerajaan Persekutuan dan seorang pemimpin PAS memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kabinet ketika itu akhirnya membenarkan jenama Timah dikekalkan, walaupun pemimpin PAS berkenaan menyatakan bantahannya.

Justeru, janganlah menggunakan isu agama secara terpilih mengikut musim politik.

Apabila berada dalam kerajaan, lain nadanya. Apabila menjadi lawan politik, lain pula hukumnya.

PMQT: Sekolah Tak Wajar Dilibat Judi Dan Arak – PM Anwar

KEADILAN Cabang Sungai Petani juga menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan isu lesen premis perjudian di Kedah perlu dihormati. Perbahasan mengenai bidang kuasa kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan hendaklah dilakukan berdasarkan Perlembagaan, undang-undang dan fakta — bukannya dengan maki hamun.

Kenyataan seorang Menteri Besar membawa imej seluruh negeri Kedah. Rakyat Kedah terkenal dengan kesantunan, keramahan dan adab. Janganlah budaya politik menghina dan mencerca cuba digambarkan sebagai bahasa atau budaya orang Kedah.

“Celaka” dan “p * laq” bukan hujah. Maki hamun bukan dasar. Penghinaan bukan kepimpinan.

Mengapa Sanusi tidak mahu memuji Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Kerajaan MADANI menurunkan cabutan khas judi daripada 22 kepada 8 kali?

Seorang Menteri Besar sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda dan rakyat yang dipimpinnya. Jika bahasa sebegini dianggap normal dalam politik, apakah contoh yang mahu kita tinggalkan kepada anak-anak kita?

KEADILAN Cabang Sungai Petani dengan ini menuntut Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf secara terbuka kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atas penggunaan bahasa yang keterlaluan dan tidak mencerminkan kedudukan serta martabat seorang Menteri Besar.

Kita boleh berbeza pendapat.
Kita boleh berbeza parti.
Kita boleh berdebat dengan keras.

Tetapi jangan sampai hilang adab dan akhlak.

Politik Malaysia mesti bergerak ke hadapan dengan fakta, dasar dan hujah — bukan dengan maki hamun, penghinaan dan politik dua darjat.

CUKUPLAH POLITIK BIADAB.
BERDEBATLAH DENGAN FAKTA.
PIMPINLAH DENGAN ADAB.

Baharuddin bin Mohamed Ibrahim
Pengarah Komunikasi
Parti Keadilan Rakyat Cabang Sungai Petani


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *