Harga Brent Dijangka Kekal Tinggi Pada Suku Keempat 2026

IMG_5924

Gangguan pada Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi serta trafik yang perlahan di Laut Merah mengehadkan keupayaan untuk melencongkan penghantaran minyak mentah.

KUALA LUMPUR, 14 Sep – Harga minyak mentah Brent dijangka kekal tinggi pada suku keempat 2026, diniagakan antara US$95 dan US$100 setong menjelang akhir tahun, disokong oleh gangguan berterusan di Selat Hormuz, peningkatan risiko di Selat Bab el-Mandeb dan kekangan eksport dari Asia Barat, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) hari ini.

HLIB mengekalkan unjuran harga US$75 setong bagi 2027 dan menyatakan bahawa pilihan laluan alternatif juga semakin terhad, dengan gangguan pada Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi serta trafik yang perlahan di Laut Merah mengehadkan keupayaan untuk melencongkan penghantaran minyak mentah.

“Pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) yang akan datang boleh menambah ketidaktentuan kepada harga Brent. Oleh itu, kami menaikkan unjuran harga Brent bagi 2026 kepada US$90 setong daripada US$80, serta mengekalkan paras US$75 setong bagi tahun 2027,” menurut bank itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent melonjak 2.93 peratus kepada US$107.70 setong, selepas Arab Saudi menutup saluran paip Timur-Barat susulan serangan dron terhadap kemudahan tersebut.

Harga Brent melonjak melepasi paras US$100 setong pada 10 September, selepas ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan serentak di Selat Hormuz dan Bab el-Mandeb.

Hujung minggu lepas, Arab Saudi melaporkan bahawa saluran paip Timur-Barat sepanjang 1,200 km miliknya yang merupakan laluan alternatif penting untuk mengelak Selat Hormuz telah ditutup sementara susulan serangan dron dilaporkan dilancarkan dari Iraq.

Saluran paip itu mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak tujuh juta tong sehari; daripadanya, lima juta tong sehari diperuntukkan untuk eksport manakala dua juta tong sehari membekalkan kilang penapisan domestik.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web