Hannah Harap Lanjutan Masa Perkhidmatan Feri Mampu Bantu Rakyat Labuan

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh meninjau penambahbaikan jadual perjalanan feri Labuan–Menumbok yang telah dilaksanakan pada 1 November 2026. Foto Hannah Yeoh
LABUAN, 4 Nov – “Setengah jam mungkin nampak kecil tetapi tidak bagi mereka yang bergantung kepada feri setiap hari.”
Itu yang bermain di fikiran Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh yang terus berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan feri di Labuan yang menjadi nadi utama pengangkutan rakyat ke tanah besar di Sabah.

Beliau berkesempatan singgah di Terminal Feri Labuan untuk melihat penambahbaikan jadual perjalanan feri Labuan–Menumbok yang telah dilaksanakan sejak Julai lalu.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau memaklumkan, bagi menambah baik perkhidmatan itu, perjalanan pertama dari Labuan ke Menumbok kini bermula pada 7.00 pagi berbanding 7.30 pagi sebelum ini.

“Dari Menumbok ke Labuan pula, perjalanan diawalkan daripada 7.00 pagi kepada 6.30 pagi.
“Perjalanan terakhir dari Labuan ke Menumbok juga telah dilanjutkan daripada 5.00 petang kepada 5.45 petang. Perjalanan tambahan secara tetap turut disediakan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya.
Turut mengiringi Hannah ialah Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain serta para pegawai kanan Perbadanan Labuan.

Tambahnya lagi, bagi mereka yang perlu ke tanah besar untuk bekerja, berniaga, mendapatkan rawatan atau menguruskan keluarga, masa sangat berharga.
“Kita mungkin melihatnya sebagai perubahan jadual semata-mata. Namun bagi mereka yang menggunakan feri setiap hari, tambahan 30 atau 45 minit boleh membawa perbezaan yang besar,” tambahnya.
Beliau optimis kerana apabila mahu memperbaiki kehidupan rakyat, kerajaan tidak semestinya perlu bermula dengan perkara besar kerana kerajaan hanya perlu mendengar apa yang mereka perlukan dan memperbaiki perkara yang perlu.

Ia juga memberikan lebih fleksibiliti kepada penduduk Labuan, khususnya mereka yang perlu berulang-alik ke tanah besar Sabah untuk meneruskan kelangsungan kehidupan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
