Hab Perlombongan Minyak Kanada Berisiko Terbakar

Kebakaran hutan merebak mendekati bandar Fort McMurray, Kanada, memaksa penduduk kawasan Abasand Heights mengosongkan kawasan itu. Foto AFP

FORT MC MURRAY, 15 Mei – Kira-kira 6,000 penduduk di empat kawasan pinggir bandar diarahkan berpindah berikutan kebakaran besar yang menghampiri bandar Fort McMurray, Kanada.

Kebakaran itu, yang merebak lebih cepat didorong oleh keadaan kering serta angin kencang, mengancam bandar di wilayah barat Alberta sejak minggu lalu dan kini hanya berada kira-kira 13 kilometer (km) ke barat daya.

Pegawai maklumat Alberta Wildfire, Josee St-Onge berkata, kebakaran meningkat dengan ketara dengan angin barat daya bertiup sehingga 40 km sejam (km/j).

“Malangnya, ini bukan angin yang baik untuk kami dan api akan terus bergerak ke arah bandar melainkan berlaku melihat peralihan tiupan angin.

Gambar ihsan Alberta Wildfire menunjukkan kepulan asap ke pelbagai arah disebabkan peralihan tiupan angin di Kawasan Hutan Fort McMurray, Alberta, Kanada. Foto AFP

“Kami melihat fenomena kebakaran yang melampau. Jalur asap sedang berkembang dan langit diselubungi asap… anggota bomba sudah ditarik keluar dari barisan hadapan kebakaran atas sebab keselamatan,” katanya.

Kebakaran terbabit setakat ini sudah memusnahkan lebih daripada 10,000 hektar hutan.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa tempatan berkata penduduk di pinggir bandar Abasand, Beacon Hill, Prairie Creek dan Grayling terpaksa meninggalkan kawasan itu pada jam 4 petang (2200 GMT).

Kebakaran hutan merebak mendekati bandar Fort McMurray, Kanada, memaksa penduduk kawasan Abasand Heights mengosongkan kawasan itu. Foto AFP

Pada 2016, kebakaran besar di Fort McMurray memaksa 90,000 penduduk dipindahkan dan menutup operasi perlombongan menghasilkan lebih sejuta tong pengeluaran minyak sehari.

Penduduk, Elsie Knister berkata, orang ramai di bahagian lain di Fort McMurray yang tidak berada di bawah arahan pemindahan juga mula beredar.

“Orang ramai tidak menunggu arahan, mereka hanya meninggalkan kawasan ini.

“Saya berusia 71 tahun dan saya tidak mahu melalui pengalaman ini lagi, ia amat mengerikan,” katanya yang terpaksa berpindah ketika kebakaran hutan pada 2016.

Pegawai berkata, Fort McMurray kini lebih bersedia untuk memadam kebakaran berbanding pada 2016.

Bagaimanapun, ketua bomba wilayah, Jody Butz berkata, pola kebakaran kali ini sangat berbeza berbanding 2016 dan jauh lebih besar lagi meluas.

“Namun, kami mempunyai banyak sumber dan berada pada kedudukan yang baik untuk bertindak balas terhadap musibah ini,” katanya.

Bandar itu mempunyai 250 hingga 300 anggota bomba yang bersedia untuk membantu melindungi infra struktur di bandar berkenaan.

Fort McMurray ialah hab untuk industri minyak Kanada, yang menghasilkan kira-kira 3.3 juta tong sehari, dua pertiga daripada jumlah pengeluaran keseluruhan Kanada.

Syarikat termasuk Suncor Energy, Canadian Natural Resources Ltd dan Imperial Oil mempunyai projek perlombongan minyak dalam jarak 150km dari bandar dan ramai pekerja tinggal di Fort McMurray.

Seorang penganalisis di RBN Energy, Martin King berkata, mereka perlu melihat sama ada tapak pengeluaran sebenar itu sendiri terancam kerana pada 2016, kebakaran memaksa syarikat memindahkan orang ramai demi keselamatan mereka sendiri. – REUTERS


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *