Gerai Jual Minyak Diesel Malaysia Di Thailand Turun Mendadak

Penyeludup diesel bersubsidi Malaysia di Thailand kini boleh ‘cari kerja lain’ setelah operasi bersepadu Op Tiris 2.0 mula menyebabkan mereka ‘garu kepala’. Foto Arkib

KOTA BHARU, 17 Jun – Langkah kerajaan menyasarkan subsidi diesel kepada RM3.35 seliter menyebabkan peniaga bahan api itu di Thailand mula menerima kesan negatif ekoran kekurangan bekalan termasuk operasi dan serbuan berterusan pihak berkuasa Malaysia.

Selain operasi penguatkuasaan bersepadu antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), para penyeludup gagal mencari ‘kaedah’ terbaik menyeludup bahan api itu ke negara jiran.

Anggota PGA menjalankan rondaan menggunakan kereta perisai di kawasan Sungai Golok di Jeram Perdah, Rantau Panjang, Kelantan. Foto Kamarul Bismi Kamaruzaman

Seorang peniaga percaya peningkatan rondaan sempadan oleh agensi penguatkuasaan Malaysia terhadap penyeludupan diesel juga menjadi punca kekurangan bekalan sebelum 10 Jun lalu dan berterusan sehingga kini.

Tinjauan mendapati hanya sekitar 25 gerai menjual diesel bersubsidi beroperasi berbanding lebih 40 sebelum pengapungan harga dan Ops Tiris 2.0 KPDN dilaksanakan bermula 8 Jun lepas.

Antara lokasi panas yang dikesan sekitar Sungai Golok hingga Takbai dan gerai diesel bersubsidi ini dijangka akan terus berkurangan dalam tempoh sebulan.

Operasi berterusan KPDN Kelantan terhadap stesen minyak dalam radius 50 kilometer dari sempadan Thailand berjaya mengekang aktiviti penyeludupan dan ketirisan diesel sejak 10 Jun lalu. Foto Facebook KPDN Kelantan

Malah harga baharu antara RM4 hingga RM4.50 seliter kepada pengguna kenderaan di Thailand dijangka mengurangkan lagi permintaan terhadap bahan api dari Malaysia kerana harga di pam di negara itu kini tidak banyak beza.

Untuk rekod harga diesel di Thailand ialah RM4.24 seliter setakat 10 Jun lalu menyebabkan minyak diesel Malaysia berharga RM2.15 seliter sebelum ini menjadi sasaran penyeludup dan pengkhianat negara di sempadan sepanjang Kelantan.

Terkini KPDN memantau 48 stesen minyak di sepanjang sempadan bagi menghalang pembelian berulang ke atas petrol RON95 susulan sekatan terhadap diesel bersubsidi.

Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan menjalankan pemeriksaan terhadap 42 buah kenderaan tempatan dan asing di ICQS Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan pada Ahad bagi mencegah penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan. Foto Facebook KPDN Kelantan

Turut dijangkakan kawasan di Satun, Yala, Pattani dan Narathiwat bakal ‘kehabisan’ bekalan diesel Malaysia dalam seminggu dua ini susulan tiada bekalan baharu diperoleh daripada para penyeludup sepanjang sempadan serta kawalan ketat di Pusat Pemeriksaan Imigresen dan Kuarantin (ICQS) diteruskan.

Pada 9 Jun lalu, menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kerajaan menyasaran subsidi diesel itu dijangka dapat menjimatkan RM4 bilion serta memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan rakyat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *