Generasi Muda Digesa Manfaatkan Media Sosial Semarakkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026

generasi muda bukan sekadar memperolehi akses untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat, malah boleh dimanfaatkan bagi menyebarkan semangat patriotisme kepada masyarakat, khususnya di kalangan mereka sendiri.
PENDAPAT, 31 Ogos – Enam puluh sembilan tahun lalu, ibu ayah malah datuk dan nenek kita mungkin tidak terfikir apa itu Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube bagi menzahirkan apa itu kemerdekaan di kaca mata mereka.
Ketika itu, hanya radio transistor dan surat khabar menjadi sumber maklumat sehala yang disiarkan parti pemerintah terutama ketika British mahu menyerahkan kekuasaan kepada rakyat sebelum 31 Ogos 1957.
Kini, generasi muda bukan sekadar memperolehi akses untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat, malah boleh dimanfaatkan bagi menyebarkan semangat patriotisme kepada masyarakat, khususnya di kalangan mereka sendiri.

Kini generasi muda dengan maklumat tanpa sempadan boleh terus memanfaatkan media sosial sebagai medium kreatif untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, sekali gus menzahirkan rasa cinta dan penghargaan terhadap negara.
Pelbagai kandungan positif boleh dihasilkan sempena sambutan Hari Kebangsaan, termasuk pengkisahan recap sejarah kemerdekaan, kisah perjuangan tokoh terdahulu, video pendek bertemakan patriotisme, aktiviti komuniti dengan mesej tersendiri serta mesej perpaduan dan kecintaan kepada Malaysia.
Usaha tersebut penting bagi memastikan generasi hari ini memahami bahawa kemerdekaan yang dinikmati bukanlah sesuatu yang diperoleh dengan mudah. Ia lahir daripada perjuangan, pengorbanan, kesatuan hati dan keberanian pejuang terdahulu yang berusaha membebaskan negara daripada penjajahan.

Sempena ulang tahun ke-69 kemerdekaan, generasi muda mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan legasi tersebut dengan cara yang bersesuaian dengan perkembangan zaman.
Jika dahulu perjuangan disampaikan melalui pidato, penulisan dan perhimpunan, hari ini media sosial menjadi antara platform paling berpengaruh untuk menyampaikan mesej kepada khalayak yang lebih luas.
Justeru, media sosial wajar digunakan secara bijaksana untuk membina kesedaran, memperkukuh semangat perpaduan dan mengangkat kisah pengorbanan pejuang kemerdekaan.

Semangat kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui sikap menghargai sejarah, menjaga keharmonian serta bersama-sama membina masa depan Malaysia yang lebih baik.
Dengan kreativiti dan semangat patriotik, generasi muda mampu menjadikan media sosial sebagai ruang untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan serta memastikan semangat kemerdekaan terus hidup dalam jiwa setiap rakyat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
