Gabungan Pembangkang Israel Sokong Tumbangkan Rejim Netanyahu

Dua pemimpin bertembung dalam pilihan raya Israel, Parti Yashar, Gadi Eisenkot (kiri) dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Foto Agensi
BAITULMAQDIS, 3 Nov – Pemimpin parti pembangkang Israel diketuai Gadi Eisenkot mengadakan pertemuan hari ini, selepas semua parti dalam gabungan itu menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, penyandang jawatan itu, Benjamin Netanyahu, mahu terus memimpin kerajaan dan menggesa pembentukan kerajaan gabungan lebih besar di bawah kepemimpinannya.
Pertemuan itu adalah yang pertama bagi gabungan pembangkang berkenaan sejak pilihan raya sengit minggu lalu yang menyaksikan tiada mana-mana blok memperoleh majoriti kerusi Parlimen.

Parti Yashar pimpinan Eisenkot berkata, pemimpin parti dalam blok perubahan itu akan bertemu di Herzliya untuk menyelaraskan langkah seterusnya bagi membentuk kerajaan baharu.
Blok Eisenkot memenangi 48 kerusi, manakala gabungan Netanyahu memperoleh 53 kerusi, termasuk 27 kerusi milik parti Likud pimpinannya.
Sementara itu, parti yang mewakili majoriti masyarakat Arab memenangi 19 kerusi daripada keseluruhan 120 kerusi Parlimen, iaitu jumlah tertinggi pernah dicapai kumpulan itu.
Keputusan berkenaan menjadikan mereka ‘king maker’ atau kumpulan berpotensi menentukan pihak yang berjaya membentuk kerajaan.
Netanyahu semalam menggesa pembentukan kerajaan nasional yang lebih besar tanpa penyertaan parti Arab.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai pemimpin parti yang memenangi kerusi terbanyak, beliau wajar mengetuai kerajaan seterusnya.
“Majoriti jelas masyarakat Yahudi memilih Likud sebagai parti terbesar dan memilih saya sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai kerajaan seterusnya.
“Kami mahu membentuk kerajaan yang besar bersama rakan gabungan dan mana-mana parti yang mahu menyertainya serta tidak menyokong keganasan,” katanya dalam kenyataan menerusi Telegram Likud.
Netanyahu menolak kerjasama dengan parti majoriti Arab, yang didakwanya menyokong keganasan dan tidak mengiktiraf kewujudan negara Yahudi.
Pemimpin parti Arab Israel sebelum ini sebulat suara mengutuk serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, namun tidak menyifatkan gerakan Islam Palestin itu sebagai kumpulan pengganas.
Walaupun pemimpin parti Raam mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara Yahudi, pemimpin parti Arab lain menolak pengiktirafan itu.
Dalam temu bual bersama AFP, pemimpin dua parti majoriti Arab itu berkata, matlamat bersama mereka menjelang pilihan raya adalah menjatuhkan kerajaan yang disifatkan bersifat perkauman.
Setakat ini, tidak banyak maklumat didedahkan mengenai rundingan sulit antara parti terbabit.
Walaupun berbeza pandangan dalam beberapa isu, semua pemimpin parti dalam gabungan Eisenkot sehingga semalam menyatakan sokongan kepadanya untuk membentuk kerajaan baharu.
Parti Arab pula memberi petunjuk kemungkinan turut menyokong Eisenkot.
Presiden Israel, Isaac Herzog, akan memulakan pertemuan dengan wakil parti politik esok, bagi menentukan calon yang akan diberi peluang membentuk kerajaan.
Beliau mempunyai tempoh tujuh hari, sehingga 11 November, untuk memilih calon berkenaan.
Calon yang dipilih mempunyai 28 hari untuk membentuk kerajaan gabungan. Tempoh itu boleh dilanjutkan selama 14 hari lagi.
Jika calon pertama gagal, Presiden boleh memilih calon lain, yang diberikan tempoh 28 hari untuk membentuk kerajaan.
Sekiranya percubaan kedua turut gagal, sekurang-kurangnya 61 ahli Parlimen boleh meminta Presiden memilih calon ketiga.
Jika calon ketiga tidak dapat dipilih dalam tempoh 14 hari, Parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya baharu diadakan. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web





