Fun Run KRT Taman Melati 1 Semarakkan Perpaduan Komuniti Dan Gaya Hidup Sihat

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 buat Andre Lai tidak lengkap tanpa menyemarakkan perpaduan di kalangan rakyat tanpa mengira usia dan latar belakang dalam semangat kemerdekaan. Foto Andre Lai
PENDAPAT, 1 Sep – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Melati 1 telah berjaya menganjurkan program Fun Run KRT Taman Melati 1 dengan meriah kelmarin, menghimpunkan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada penduduk setempat serta komuniti sekitar.
Program larian santai sejauh 5 kilometer (km) ini bukan sahaja menjadi platform riadah untuk masyarakat, malah berperanan penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh semangat kejiranan, serta menyemai budaya hidup sihat dalam kalangan warga komuniti.

Suasana kejohanan turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan untuk seisi keluarga. Antaranya termasuklah sukaneka, pertandingan basikal berhias sempena Sambutan Bulan Kebangsaan serta pertandingan pakaian tercantik bertemakan Kemerdekaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai peringkat umur.
Penganjuran pelbagai aktiviti santai ini memberi peluang kepada penduduk untuk berinteraksi dengan lebih dekat, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan di Taman Melati 1.

Kejayaan penganjuran program ini turut didorong oleh pengajur bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju dan mendapat tajaan Mamee Monster, serta sumbangan peribadi daripada Tuan Lai Chen Heng, mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur.
Pengerusi MPP Wangsa Maju, Tuan Azmee Rahim, dalam ucapannya melahirkan rasa bangga terhadap inisiatif proaktif yang digerakkan oleh KRT Taman Melati 1.
“Saya menyambut baik program-program di Taman Melati yang sentiasa mendapat sambutan hangat. Pihak MPP akan sentiasa menyokong usaha penduduk demi kesejahteraan bersama, terutama program yang menekankan semangat perpaduan. Syabas saya ucapkan kepada komuniti di sini,” ujar beliau.
Sementara itu, Tuan Lai Chen Heng menyifatkan penganjuran program berskala besar ini sebagai bukti ketegasan dan kesungguhan kepimpinan baharu KRT Taman Melati 1.
”Menyahut seruan YAB Perdana Menteri (PMX) agar semua pihak ‘terus bekerja’, saya amat memuji iltizam Tuan Mohammad Tomiran, Pengerusi KRT Taman Melati 1 yang baru dilantik bulan lepas, kerana terus menganjurkan program mega ini. Tahniah dan terima kasih kerana menterjemahkan semangat Malaysia Madani,” jelas beliau.

Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan KRT Taman Melati 1 dalam membina komuniti yang bukan sahaja aktif dari segi fizikal, tetapi juga memiliki ikatan perpaduan yang kukuh, saling mengenali, dan terus mengamalkan semangat muhibah antara satu sama lain.

Oleh Lai Chen Heng
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
