Fed Tangguh Kadar Faedah Dorong Ringgit Tinggi Berbanding Dolar AS
Data terkini AS menunjukkan bahawa Fed dijangka tidak menaikkan kadar faedah pada mesyuarat bulan depan. Foto Pengerusi Fed, Kevin Warsh
KUALA LUMPUR, 30 Sep – Jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menangguhkan kenaikan kadar faedah bulan depan berikutan data sentimen pengguna yang lebih rendah daripada jangkaan, mendorong ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Rabu.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0785/0820 berbanding dolar AS daripada 4.0790/0850 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit serta mata wang Asia lain menerima sedikit momentum hari ini apabila data terkini AS menunjukkan bahawa Fed dijangka tidak menaikkan kadar faedah pada mesyuarat bulan depan.

Menurutnya, sentimen pengguna yang lebih lemah boleh menjejaskan perbelanjaan isi rumah, yang menyumbang kira-kira dua pertiga daripada ekonomi AS.
Mohd Afzanizam berkata, penggiat pasaran akan memantau dengan teliti laporan Guna Tenaga ADP dan perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang akan dikeluarkan lewat malam ini.
“Berdasarkan anggaran konsensus, guna tenaga ADP, yang mengukur pewujudan pekerjaan dalam sektor swasta, dijangka meningkat kepada 73,000 pada September daripada 38,000 pada bulan sebelumnya manakala inflasi PCE dijangka kekal pada 3.7 peratus pada Ogos.

“Sekiranya angka pekerjaan yang lemah dan kadar inflasi lebih rendah berterusan, dolar AS dijangka mengalami pembetulan selanjutnya dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.6324/6363 daripada 4.6235/6303 semasa ditutup pada Selasa, rendah berbanding pound kepada 5.4162/4209 daripada 5.3937/4016 dan menurun berbanding yen kepada 2.5969/5993 daripada 2.5869/5909.
Berbanding mata wang ASEAN, unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1943/1973 daripada 3.1885/1934 semasa ditutup semalam, berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.1521/1666 daripada 12.1402/1632 dan menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 227.9/228.2 daripada 226.8/227.2.
Ringgit menokok berbanding peso Filipina kepada 6.51/6.52 daripada 6.52/6.53 semalam. – Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
