Faktor Calon Jadi Penentu Kerajaan Perpaduan Rampas DUN Sungai Bakap

Raut wajah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sedikit gusar namun bersemangat untuk merampas kembali kerusi Dun Sungai Bakap yang ‘dipinjamkan’ pada PRN Ogos tahun lalu. Foto Bernama

PENDAPAT, 11 Jun – Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap bakal menyaksikan sejauh manakah keutuhan gabungan jentera dan petugas pilihan raya Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) berhadapan fenomema ‘gelombang hijau’ di Pulau Pinang.

PRK ini juga dianggap penting terutamanya bagi KEADILAN kerana menjadi kayu ukur sebenar pengaruh dan kekuatan parti itu selepas mengalami kekalahan teruk bertanding semasa PRU ke-15 dan PRN lalu.

Jikalau mengamati ucapan Chow Kon Yeow malam pelancaran jentera seolah-seolah beliau sedar yang gelombang hijau masih lagi ada di Sungai Bakap dan menjangkakan cabaran agak getir akan dilalui oleh barisan jentera pilihan raya kerajaan perpaduan PH-BN.

Mungkin beliau menerima maklumat di mana sambutan yang dikatakan begitu ramai di kalangan penyokong serta pengikut Pas berkonvoi motosikal mengiringi kepimpinan parti itu malah jentera serta petugas dan orang ramai membanjiri dataran Markaz Pas Nibong Tebal itu sehingga melimpah keluar dari markaz.

Sambil menunjukkan signal awal bahawa PRK di Dun Sungai Bakap suasananya sangat berbeza berbanding semasa bertanding di kerusi incumbent yakni bertanding di lain-lain tempat yang menjadi milik kerajaan perpaduan.

Di sebalik raut wajah Chow Kon Yeow hendak menggambarkan beliau belum cukup yakin yang KEADILAN akan boleh menang tetapi melihatkan reaksi dan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan parti perpaduan yang melaungkan keyakinan awal.

Akhirnya beliau ikut sama bersemangat cuma mengingatkan kepada semua yang hadir bahawa perlu bekerja keras lagi untuk memastikan kerusi N20 Dun Sungai Bakap berjaya dirampas.

Kebetulan terdapat spekulasi awal dikatakan akan meletakkan calon KEADILAN daripada seorang ahli akademik namun nama calon berkenaan masih belum dimuktamadkan lagi kerana pengumuman rasmi nama calon bertanding akan diputuskan melalui satu mesyuarat khas bersama barisan kepimpinan tertinggi parti perpaduan hari ini.

Pada hemat penulis, untuk bertanding di peringkat Dun seorang calon itu biarlah dikenali penduduk di sini terutamanya di kawasan bertanding.

Sebaik-baiknya calon yang dipilih hendaklah merupakan seorang aktivis masyarakat yang proaktif malah mempunyai pengaruh yang kuat di kawasannya amat layak diangkat sebagai calon bertanding kerana dianggap memiliki kelebihan dan berpotensi boleh menang.

Bertanding di peringkat Dun tidak semestinya seseorang calon itu mempunyai taraf pendidikan tinggi sehingga peringkat PhD menjadi taruhan untuk dipilih bertanding kerana apa yang penting seorang calon itu dipercayai dapat memberikan perkhidmatan terbaik serta boleh bersikap adil dalam menjaga soal kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasannya.

Ia juga secara tidak langsung akan menjadi sandaran kuat bagi menyuntik moral dan semangat di kalangan jentera pilihan raya PH-BN untuk meyakinkan para pengundi sepanjang tempoh berkempen dijalankan.

Paling tidak calon yang dipilih mewakili kerajaan perpaduan nanti dapat mempengaruhi sokongan pengundi-pengundi lebih-lebih lagi terhadap pengundi tegar Umno yang dianggarkan seramai lima ribu orang ahli di Sungai Bakap hendaklah ditawan.

Walau bagaimanapun kita tidak menafikan yang pengaruh Pas lagi kuat untuk meniupkan kembali sentimen Melayu Islam bagi menarik perhatian mereka yakni pengundi Melayu-Umno.

Makanya, jentera parti kerajaan perpaduan PH-BN harus terlebih dahulu mengambil peluang itu sebelum disambar oleh Perikatan Nasional yang secara tidak langsung akan menyumbang kepada kemenangan calon kerajaan perpaduan.

Justeru, oleh kerana itu faktor seseorang calon adalah menjadi penentu sebenar di dalam mendepani arus kebangkitan gelombang hijau di Dun Sungai Bakap Pulau Pinang.

Pemerhati politik bebas


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *