Fahmi Mahu MyGCC Kumpul Data Panggilan Berkaitan Isu Subsidi Diesel

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Kompleks Kementerian Komunikasi hari ini. Foto Facebook Mohamad Fauzi Md Isa

PUTRAJAYA, 11 Jun – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mahu Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) merekodkan data jumlah panggilan dan persoalan yang diterima daripada orang ramai berkaitan isu subsidi diesel yang baru dikuatkuasakan.

Bercakap kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini, beliau berkata data berkenaan diminta untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Pasca-Kabinet.

“Di pihak kementerian, kita akan teliti sekiranya ada perkara yang konsisten dibangkitkan (berkenaan isu subsidi diesel), kita akan panjangkan kepada kementerian berkaitan dan Jemaah Menteri,” katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Kompleks Kementerian Komunikasi hari ini. Foto Facebook Mohamad Fauzi Md Isa

Fahmi pada masa yang sama juga mahu MyGCC dapat menjawab persoalan dibangkitkan pemanggil mengenai isu subsidi diesel dengan baik, tuntas dan ringkas.

Pada Ahad lalu, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter bermula semalam di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

MyGCC adalah pusat sehenti dengan nombor tunggal, 03 8000 8000, yang menjadi gerbang komunikasi menghubungkan rakyat dengan agensi-agensi kerajaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Kompleks Kementerian Komunikasi hari ini. Foto Bernama

MyGCC menawarkan perkhidmatan penerimaan pertanyaan, aduan, bantuan pemindahan talian, cadangan dan maklum balas rakyat melalui saluran panggilan, Chatbot, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), e-mel dan media sosial (Facebook, Instagram, Twitter) beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. – Bernama


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *