F1: Verstappen Atasi Hamilton, Antonelli Rebut Petak Utama GP Bahrain Di Malaysia
Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen merampas petak pertama dalam ujian pusingan kelayakan bagi perlumbaan Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang pada 3 Oktober 2026. Foto Getty Images
SEPANG, 3 Okt – Debaran ratusan ribu peminat Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi sesi kelayakan Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain, berkenaan siapa yang mengisi petak utama bagi perlumbaan petang esok terjawab apabila dua bekas juara dunia menyambar baris hadapan dalam saingan sengit sejak permulaan sesi kelayakan utma sebentar tadi.
Max Verstappen mengatasi Lewis Hamilton sekali gus membuka peluang untuk Verstappen menamatkan penantian kemenangan pertama musim ini pada perlumbaan esok.
Jaguh Belanda yang juga juara dunia empat kali unggul mengisi petak utama buat kali pertama musim ini, selepas mencatat masa terpantas 1 minit 35.130 saat (s), manakala pemandu Ferrari, Hamilton dari Britain yang memiliki tujuh gelaran dunia mengisi petak kedua dengan catatan 1:35.428s.
Rakan sepasukan Verstappen dalam pasukan Red Bull Racing, Isack Hadjar melengkapkan tiga kelompok teratas apabila mencatat masa 1:35.558s untuk berada di petak ketiga.
Menariknya, keputusan itu mengimbas kembali perseteruan Verstappen dan Hamilton pada edisi terakhir GP Malaysia 2017 sembilan tahun lalu apabila Hamilton yang ketika itu bersama Mercedes, mengungguli sesi kelayakan, tetapi menamatkan perlumbaan di podium kedua, manakaka Verstappen muncul juara.
Verstappen mengakui kejayaan meraih petak pertama memberikan keyakinan tambahan untuk memburu kemenangan pertamanya musim ini selepas beberapa kali menghampiri kejayaan tetapi gagal merealisasikannya.

“Kadang-kadang kami sudah hampir (untuk menang) dan kemudian tidak berjaya, tetapi akhirnya untuk mendapatkannya (petak pertama) selepas melihat bagaimana kami bermula musim ini, ia benar-benar menakjubkan.
“Saya gembira dengan pencapaian hari ini dan sudah tentu saya akan cuba untuk menang esok. Apabila anda bermula di petak pertama, itulah sasarannya (memenangi perlumbaan),” katanya.
Hamilton pula mengakui lebih berpuas hati dengan prestasi jentera Ferrari selepas sesi kelayakan, namun menyedari perlumbaan sebenar akan memberikan cabaran berbeza, terutama dalam usaha mengawal suhu dan kehausan tayar di permukaan litar Sepang.

“Saya lebih gembira dengan keadaan jentera sekarang. Namun, perlumbaan esok adalah sesuatu yang sama sekali berbeza, terutama untuk memastikan tayar bertahan di litar ini.
“Max sangat pantas, jadi saya hanya akan cuba melakukan yang terbaik untuk esok,” katanya.
Sementara itu, pendahulu kejuaraan pemandu, Kimi Antonelli (Mercedes AMG Petronas) mengisi petak keempat dengan catatan 1:35.631s, hanya 0.501 saat di belakang Verstappen, manakala juara dunia, Lando Norris (McLaren) terpaksa berpuas hati di petak keenam dengan 1:35.757s.
Charles Leclerc (Ferrari) mengisi petak kelima di antara Antonelli dan Norris, manakala Oscar Piastri (McLaren) di petak ketujuh dan juara GP Azerbaijan minggu lalu, George Russell (Mercedes AMG Petronas), kelapan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

