F1: PM Anwar Zahir Penghargaan Buat Kerajaan Bahrain, Petugas Anjur GP Bahrain

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas kejayaan penganjuran F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia pada 5 Oktober 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Setinggi-tinggi penghargaan dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kepada kerajaan Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atas kejayaan menjayakan penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Malaysia.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar berkata, kerjasama erat antara SIC dan Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) selain komitmen padu seluruh pasukan penganjur, telah membolehkan perlumbaan berprestij dunia itu berlangsung dengan jayanya.

Perlumbaan dramatik yang disaksikan peminat F1 semalam nyata menggamit minat mereka melihat sendiri bagaimana kejayaan penganjurannya mampu membawa nama Malaysia selaku penganjur berprestij dalam mana-mana kejohanan peringkat dunia.

Menurut Anwar, pencapaian itu sekali gus memperkukuh hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

“Salut kepada semua yang bertungkus-lumus, daripada pemandu bas, anggota keselamatan dan sukarelawan hingga peniaga serta petugas kebersihan, kerana di sebalik kemeriahan ini ada keringat dan kesungguhan mereka yang wajar kita hargai.

“Terima kasih kepada peminat F1 dari seluruh dunia yang hadir dan terutamanya rakyat Malaysia yang memeriahkan perlumbaan serta menyambut para tetamu dengan penuh kemesraan dan budi bahasa,” ujar Anwar penuh bangga.

Perdana Menteri turut memuji rakyat tempatan yang disifatkan berjaya mengangkat imej positif negara di mata pengunjung antarabangsa yang terbukti kaya dengan semangat muhibah.

“Kalian telah memperlihatkan wajah Malaysia yang mesra, terbuka dan kaya dengan semangat muhibah. Semoga kita ketemu lagi di Sepang. Insya-Allah!,” kata beliau.

Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026, yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober, menyaksikan kepulangan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun tidak diadakan, dengan perlumbaan terakhir di litar itu berlangsung pada 2017.

Perlumbaan semalam menyaksikan pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen menamatkan saingan di tempat pertama, manakala pendahulu kejuaraan, Kimi Antonelli daripada Mercedes-AMG PETRONAS kedua, sementara juara dunia tujuh kali dari Ferrari, Lewis Hamilton meraih podium ketiga.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
