F1: PM Anwar Umum Siaran Langsung Perlumbaan Percuma Di RTM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai ‘Pit Lane Walk’ menjelang perlumbaan Formula 1 Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di SIC pada 1 Oktober 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 2 Okt – Khabar gembira buat rakyat Malaysia dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) secara langsung, hujung minggu ini.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial rasminya hari ini bagi membolehkan rakyat Malaysia menyaksikan perlumbaan bertaraf dunia itu secara langsung di kaca televisyen bermula jam 3 petang Ahad ini.
“Berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia! RTM akan menyiarkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 secara langsung agar kemeriahan perlumbaan ini dapat dinikmati bersama,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan harapan agar inisiatif siaran langsung itu dapat membawa kehangatan aksi sukan bertaraf dunia tersebut ke setiap pelosok tanah air.
“Saya berharap siaran langsung ini memberi peluang kepada rakyat di seluruh pelosok tanah air untuk merasai debaran perlumbaan bertaraf dunia dari Litar Antarabangsa Sepang,” ujar Anwar.
Perlumbaan peringkat ke-17 dalam kalender F1 itu berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini menyaksikan 11 pasukan bersama 22 jentera bakal berentap memburu mata penting kejuaraan dunia dalam 56 pusingan di litar sejauh 5.543 kilometer (km) itu.

Selepas Malaysia, saingan beralih ke F1 Singapore Airlines GP Singapura di Marina Bay Sands Street Circuit minggu depan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
